Eddin Syazlee mahu pertahan kerusi Parlimen Kuala Pilah

Eddin Syazlee Shith
Eddin Syazlee Shith
A
A
A

KUALA PILAH - Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Eddin Syazlee Shith menyuarakan hasrat untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Pilah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Parti Gabungan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan itu berkata, beliau bersedia menentang calon daripada parti lain, biarpun akan ada pertembungan tiga penjuru.

“Saya akan mempertahankan apa yang ada (kerusi Parlimen Kuala Pilah). Ya, hari ini ada perbincangan dengan Bersatu dan PAS mengenai pembahagian kerusi bagi menghadapi PRU15.

“Bagi Negeri Sembilan, cadangan telah diberikan, kita tetap akur dengan ketetapan yang diputuskan nanti. Asalkan kedua-dua parti tidak bergaduh,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke program Malaysia prihatin dan taklimat isu semasa peringkat Kuala Pilah di sini pada Jumaat.

Sebelum ini Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan keyakinannya merampas semula kerusi Parlimen di Kuala Pilah susulan kekalahan hanya 200 undi di kerusi itu pada PRU14.

Pada PRU14, Eddin Syazlee mewakili Bersatu memenangi 18,045 undi menewaskan Datuk Seri Hasan Malek (BN), yang menerima 17,845 undi.

Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun sebelum ini PN Negeri Sembilan telah menyatakan pendirian agar tiada pertembungan tiga penjuru pada PRU15, namun berikutan situasi politik tidak menentu ketika ini, beliau tidak menolak kemungkinan persaingan tersebut berlaku. - Bernama

Artikel Berkaitan: