14.3 juta rakyat Malaysia sudah dibanci

Mohd Uzir Mahidin
Mohd Uzir Mahidin
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 14.3 juta daripada 32.7 juta rakyat Malaysia telah dibanci menerusi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) setakat Jumaat.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pihaknya menjangkakan dapat menyelesaikan bancian yang dijalankan di seluruh negara itu pada akhir Jun ini.

“Ingin saya tekankan bahawa bancian ini bukan bergantung bagaimana ia dapat diselesaikan tetapi ketepatan maklumat diberikan oleh orang ramai menerusi sistem banci ini.

“Kita mahu dapatkan maklumat profil penduduk berkaitan ekonomi dan sosial bagi perancangan masa depan negara,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan Banci 2020 di Kampung Baru Rasah di sini pada Jumaat.

Menurutnya, menerusi dapatan bancian itu ia memudahkan pelbagai pihak mengenal pasti kemudahan diperlukan, perkhidmatan dan peluang pekerjaan kepada rakyat di sesuatu kawasan.

Justeru, beliau berharap rakyat tanpa mengira kaum dan status pendapatan bekerjasama dengan memberi maklumat bancian yang dijalankan setiap 10 tahun itu dengan tepat agar dapat dimanfaatkan pada masa akan datang.

Katanya, negeri yang merekodkan bancian tertinggi ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu sebanyak 99 peratus diikuti Johor dan Perak menghampiri 60 peratus manakala bancian terendah ialah Sabah (21 peratus) dan Sarawak (30 peratus). - Bernama

Artikel Berkaitan: