Projek-projek luar bandar Sabah akan dikaji semula

R.Sivarasa
R.Sivarasa
A
A
A

KOTA BELUD - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan mengkaji semula keperluan projek-projek luar bandar yang dilaksanakan di Sabah, termasuk yang belum bermula agar, ia dapat menentukan projek yang perlu diberi keutamaan.

Timbalan Menterinya, R.Sivarasa berkata, kementerian itu menyediakan peruntukan RM1.13 bilion bagi pelaksanaan projek-projek luar bandar di Sabah, dengan sebahagian besarnya khusus untuk projek lama yang ada kesinambungan dan juga yang belum bermula.

“Itu sebabnya lawatan ini diadakan, untuk melihat keperluan yang memerlukan keutamaan. Selepas tinjauan kita akan senaraikan keutamaan yang akan dirunding dengan kerajaan negeri," katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja ke Kota Belud, di sini hari ini.

Beliau berkata, KPLB mahukan supaya infrastruktur di peringkat kampung diberi keutamaan khususnya dalam aspek pembinaan jalan raya, bekalan elektrik serta air; dan pendekatan pembangunan di peringkat kampung juga perlu berbeza daripada pendekatan yang dibawa kerajaan sebelum ini.

Sementara itu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, keputusan bagi memuktamadkan kawasan yang akan diberi keutamaan dengan projek-projek pembangunan akan diketahui Mac ini.

ADUN Kadamaian itu berkata, menjelang tempoh itu, beberapa siri lawatan diadakan bersama dengan pegawai-pegawai dari KPLB.

"Sebab itulah lawatan ini diadakan supaya dalam beberapa siri mesyuarat menjelang Mac ini, kita masih boleh membuat perubahan sebelum proses pelaksanaan bermula," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: