Pelajar maut, rakan parah motosikal rempuh kereta

Gambar kecil: Muhammad Asyraf
Gambar kecil: Muhammad Asyraf
A
A
A

MELAKA - Seorang pelajar Kolej Vokasional Melaka Tengah maut manakala rakannya parah selepas motosikal dinaiki mereka merempuh sebuah kereta di Jalan Bukit Katil-Duyong di sini pada awal pagi Jumaat.

Dalam kejadian jam 12.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Asyraf Ramli, 20, yang menunggang motosikal Yamaha 125Z maut di lokasi kejadian, manakala pembonceng, Muhammad Norazlysham Abd Rasid, 20, mengalami pendarahan dalaman di kepala dan mendapatkan rawatan zon merah Hospital Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, ketika kejadian kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari arah lampu isyarat Masjid Bukit Katil menuju ke Tanjung Minyak Perdana.

Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu lelaki berusia 25 tahun telah berhenti di kiri jalan dan cuba membuat pusingan U.

"Pemandu kereta tidak menyedari kehadiran motosikal mangsa lalu berlaku rempuhan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Katanya, pemandu kereta mengalami luka di kepala dan dirawat di zon kuning.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik untuk bedah siasat sebelum dituntut waris keluarga," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: