Mujahid tuntut permohonan maaf Abdul Hadi

Mujahid Yusof (tengah) tuntut permohonan maaf daripada Abdul Hadi.
A
A

PARIT BUNTAR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof mengesahkan sedang mengemukakan tuntutan maaf daripada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung penulisan sebuah artikel didakwa menjatuhkan imejnya baru-baru ini.

Mujahid berkata, penulisan artikel bertajuk 'Ijazahnya ada, akalnya kerdil' oleh Abdul Hadi disiarkan akhbar atas talian, Harakahdaily pada 14 Februari lalu jelas menunjukkan secara innuendo atau kiasan terhadap seorang menteri yang,mendakwa Nabi Muhammad SAW tiada ijazah.

Menurutnya, artikel itu ditulis dipercayai berpandukan satu kenyataan palsu ditularkan dalam media sosial kononnya beliau pernah mengungkapkan Rasulullah SAW pun tidak masuk universiti dan tiada ijazah bagi menjawab isu beberapa pemimpin kerajaan mempunyai sijil akademik tinggi diragui.

"Berpandukan kenyataan palsu berkenaan, seolah-olah saya yang kata Rasulullah SAW pun tidak masuk universiti dan tiada ijazah, walhal saya tidak kata apa pun.

"Tetapi yang saya tidak kata itulah Presiden Pas (Abdul Hadi) buat artikel bertajuk 'Ijazahnya ada, akalnya kerdil'.

"Artikel itu jelas menunjukkan secara innuendo atau kiasan, dia merujuk seorang menteri yang pastinya saya," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mujahid berkata, susulan itu, pihaknya melalui peguam sudah mengeluarkan surat tuntutan terhadap Abdul Hadi bagi menarik balik kenyataan artikelnya dan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka mengikut tarikh ditetapkan.

Menurutnya, tindakan itu dibuat susulan pihaknya mengambil maklum tidak mungkin seseorang individu membuat satu artikel mengenai kenyataan individu lain sedangkan individu dirujuk langsung tidak mengeluarkan kenyataan mengenai isu pokok dibangkitkan.

"Saya difahamkan surat tuntutan permohonan maaf dan menarik balik kenyataan artikel daripada Abdul Hadi sudah disiapkan.

"Cuma saya tidak pasti sama ada sudah dihantar atau belum (surat tuntutan). Nanti saya akan merujuk kembali dengan peguam," katanya.