Ahli perniagaan dijel, sebat tipu lebih RM6 juta

Narendran, 41, dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan 24 sebatan selepas didapati bersalah atas 115 pertuduhan menipu dan mengemukakan dokumen palsu melibatkan pelaburan lebih RM6 juta pada 2015 di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat. Foto Bernama
Narendran, 41, dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan 24 sebatan selepas didapati bersalah atas 115 pertuduhan menipu dan mengemukakan dokumen palsu melibatkan pelaburan lebih RM6 juta pada 2015 di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Seorang ahli perniagaan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 24 sebatan di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat selepas didapati bersalah atas 115 pertuduhan menipu dan mengemukakan dokumen palsu melibatkan pelaburan lebih RM6 juta, enam tahun lalu.

Hakim Norashima Khalid menjatuhkan hukuman itu, terhadap tertuduh, N. Narendran, 41, dan memerintah hukuman penjara bagi setiap pertuduhan itu dijalankan serentak selepas mengambil kira keseluruhan kes serta mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan ke atas pendakwaan kes.

Mengikut pertuduhan, Narendran didakwa menipu Hafizul Abdul Hamid, 45, dengan memperdayakan mangsa supaya mempercayai bahawa pesanan (tempahan) kerajaan negeri untuk pelaburan membekalkan peralatan perubatan pakai buang kepada Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, adalah tulen.

Tertuduh didakwa mendorong mangsa menyerahkan cek dan wang tunai antara RM20,000 hingga RM350,000 bagi tujuan pelaburan yang tidak wujud di empat lokasi berbeza antara Mei hingga Disember 2015.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Narendran turut didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana mengemukakan dokumen palsu membabitkan kes dan mangsa yang sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 467 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Dia didakwa dengan curangnya menggunakan beberapa Dokumen Pesanan Kerajaan Negeri Perak yang palsu sebagai tulen di pejabat Ganang Resources, No.C-2-09 Persiaran Greentown 3, Greentown Business Centre pada April hingga Oktober 2015.

Peguam RSN Rayer memohon mahkamah menangguhkan hukuman sementara rayuan di Mahkamah Tinggi dan memohon ikat jamin dikenakan sehingga proses rayuan selesai.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin membantah permohonan pihak peguam dan memohon mahkamah menaikkan jumlah jaminan serta mengenakan syarat tambahan ke atas Narendran, sekiranya ikat jamin dipertimbangkan.

Norashima kemudian membenarkan Narendran diikat jamin RM30,000 berserta syarat tambahan iaitu melaporkan diri setiap dua minggu di balai polis berdekatan. - Bernama