X

Kindly register in order to view this article
!

MINDEF sasar 1,000 veteran tentera bergelar usahawan madu kelulut

Ismail Sabri dan Noraini melihat produk yang dihasilkan daripada madu kelulut pada majlis pemeteraian perjanjian antara Pharmaniaga dan UMT di Hotel Royale Chulan Damansara pada Jumaat.
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyasarkan seramai 1,000 veteran tentera akan bergelar usahawan madu kelulut menerusi perjanjian usahasama Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang dimeterai pada Jumaat.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, menerusi kolaborasi itu, UMT dan Pharmaniaga yang pegangan saham utamanya dimiliki Boustead Holdings serta Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan membangunkan projek madu kelulut secara saintifik dan komersial.

"UMT akan jalankan kajian tentang madu kelulut, manakala Pharmaniaga akan dapatkan peserta dan bantu dari segi dana, latihan dan pemasaran produk yang dikeluarkan usahawan.

"Latihan untuk jadi usahawan akan diperhebatkan lagi menerusi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) di bawah MINDEF," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian itu pada majlis di Hotel Royale Chulan Damansara di sini pada Jumaat.

Pemeteraian perjanjian yang ditandatangani Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope dan Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar itu turut disaksikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Melalui inisiatif itu, pesara tentera akan diberi modal dan latihan kemahiran untuk mengusahakan ladang kelulut mengikut standard Amalan Pertanian Baik (GAP) bagi menjamin kualiti terbaik madu kelulut untuk pengguna.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan (Keselamatan) berkata, inisiatif itu akan menyediakan peluang pekerjaan baharu kepada veteran tentera.

"Bagi tentera yang berpencen, maksimum mereka kerja pun selama 21 tahun.

"Apa yang jadi kelebihan mereka, mereka mempunyai ketahanan, jadi boleh terlibat dalam apa sahaja (kerja selepas bersara)," katanya.

Beliau menjelaskan, pemasaran produk itu pula akan dilakukan menerusi lebih 4,000 'outlet' (kedai) di bawah MINDEF dan Pharmaniaga.

"Di bawah LTAT dan Boustead Holdings, kita ada 500 buah kedai Perwira Niaga Malaysia (Pernama) seluruh negara dan ada 100 ruang jualan di kedai serbaneka, 7 Eleven seluruh Malaysia.

"Boustead Holdings juga mempunyai 450 stesen minyak BHP manakala Pharmaniaga memasarkan produknya di 3,000 farmasi seluruh negara. Jadi kesemua premis itu akan akan digunakan untuk pasarkan produk madu kelulut berkenaan," katanya.

Kata beliau, apa yang penting, produk madu kelulut yang akan dikeluarkan usahawan nanti perlu mempunyai kualiti termasuk dari segi pembotolan dan pelabelannya agar boleh memasuki pasaran.

Sementara itu, Zulkarnain berkata, pihaknya menyasarkan untuk memasarkan produk madu kelulut itu pada hujung Jun nanti.

Katanya, pihaknya juga merancang untuk memasarkan produk itu ke luar negara terutama untuk pasaran China dan Eropah selepas pandemik Covid-19 berakhir.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!