'Menyatukan ummah agendanya cukup besar'

Khairul Nadzir Helmi
Khairul Nadzir Helmi
A
A
A

SHAH ALAM - Konsep penyatuan yang mahu membawa syiar Islam, mengembalikan kegemilangan orang Melayu, tidak ekstrem terhadap perkara radikal dan juga tidak liberal mesti disatukan.

Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, konsep penyatuan itu juga tidak boleh meletakkan sokongan kepada mana-mana pihak mengikut peratusan dan kepentingan.

Beliau sehubungan itu berkata, konsep penyatuan dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) melibatkan parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh-tokoh individu perlu disatukan.

"Tanpa meletakkan, ok ini kita (bagi) 10 peratus sahaja dalam penyatuan, yang ini 20 peratus dalam penyatuan, tidak (begitu). Maka itulah azam dan pendirian kita. Pendirian kita adalah menyatukan ummah.

"Menyatukan ummah ini agendanya cukup besar," katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-246 bertajuk ‘PN atau MN: Mana satu pendirian Pas' disiarkan menerusi dalam talian di Facebook Sinar Harian pada Khamis.

Wacana turut menampilkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii dan penganalisis keselamatan dan politik daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin juga sebagai panelis, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu, Nazir juga menegaskan bahawa Pas tidak mengambil pendekatan selamat kerana menyokong PN dan MN sebaliknya lebih mengutamakan agenda perpaduan.

"Kalaulah Pas bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau pun UMNO dilihat 'play safe' atau dua kolam atau apa juga perkataan menggambarkan Pas tak ada pendirian, Pas sudah tidak ada dalam arena politik negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa agenda sebenar yang lebih besar perlu diberikan perhatian adalah bagi memastikan agenda perpaduan bangsa Melayu dan orang Islam itu dapat dikembalikan.

Ketika ditanya sekiranya Pas tidak berkompromi dengan amalan liberal, adakah Pas berkompromi dengan amalan korup, Nazir berkata, sudah tentunya tidak dan itu adalah fitrah manusia untuk tidak menerima kejahatan.

"Semestinya bukan Pas sahaja yang tidak mahukan bersama dengan mereka yang rasuah dan sebagainya, saya yakin UMNO pun sama. Bersatu pun sama.

"Hatta kalau kita tengok kawan-kawan kita dalam DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) pun. Semua tidak akan terima tentang memilih pemimpin yang korup," katanya.