X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Yadim perlu dana RM50 juta setahun untuk kerja dakwah

Yadim memerlukan dana RM50 juta setahun bagi mengaktifkan gerak kerja dakwah dalam pelbagai lapangan. - Foto Yadim
A
A

PUTRAJAYA - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) memerlukan dana RM50 juta setahun bagi mengaktifkan gerak kerja dakwah dalam pelbagai lapangan, kata Yang Dipertua Yadim, Nasrudin Hassan.

Beliau berkata, berdasarkan tahun-tahun sebelumnya, purata dana sumbangan yang diterima Yadim hanya kira-kira RM20 juta.

"Kita perlukan lebih dana untuk bergerak lebih aktif kerana sasaran dakwah kita ada pelbagai segmen seperti penduduk di Sabah, Sarawak, orang asli dan asnaf selain turut menyantuni mangsa-mangsa bencana alam.

"Selain menyampaikan dakwah melalui majlis ilmu, tazkirah, street dakwah dan sebagainya, kita juga memerlukan peruntukan untuk program-program melatih pendakwah baharu dan penyebaran risalah tentang Islam kepada masyarakat," katanya kepada media selepas majlis menandatangani perjanjian usaha sama antara Yadim dan MobilityOne Sdn Bhd di sini pada Jumaat.

Perjanjian usaha sama Yadim dan MobilityOne selama lima tahun itu adalah bagi projek pembangunan dan pelaksanaan perkhidmatan teknologi kewangan bagi program penjanaan dana infaq Yadim.

Ketua Pegawai Eksekutif MobilityOne, Datuk Hussian A Rahman berkata, kerjasama dengan Yadim itu akan memudahkan penderma menggunakan pelbagai saluran pembayaran digital untuk menderma kepada badan berkenaan.

Beliau berkata, antara saluran yang telah dikenal pasti ialah pembayaran tanpa tunai melalui terminal e-pos MobilityOne, pembayaran dalam talian melalui portal rasmi Yadim dan melalui saluran aplikasi mudah alih.

"Kita jangka tiga bulan daripada sekarang, sistem pembayaran infaq untuk Yadim yang dibangunkan oleh syarikat kami akan mula beroperasi sepenuhnya," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menyaksikan pemeteraian perjanjian berkenaan dalam ucapan ringkasnya berharap agar usaha sama itu akan menjadikan Yadim lebih gah dan mudah menyampaikan dakwah dalam pelbagai cara. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!