Keluarga diraja Sultan Kedah kurnia sumbangan Ramadan

Tengku Sarafudin Badlishah (kanan) berkenan menyampaikan sumbangan kurniaan keluarga diraja Sultan Kedah sempena Ramadan 2021 di Dewan Tunku Anum, Kompleks Pentadbiran Daerah Kubang Pasu pada Jumaat.
Tengku Sarafudin Badlishah (kanan) berkenan menyampaikan sumbangan kurniaan keluarga diraja Sultan Kedah sempena Ramadan 2021 di Dewan Tunku Anum, Kompleks Pentadbiran Daerah Kubang Pasu pada Jumaat.
A
A
A

JITRA - Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Sumbangan Kurniaan Keluarga Diraja Sultan Kedah sempena Ramadan 2021 di Dewan Tunku Anum, Kompleks Pentadbiran Daerah Kubang Pasu pada Jumaat.

Unit Komunikasi Korporat Pejabat Tuanku Sultan Kedah dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 240 penerima terdiri daripada golongan memerlukan dari seluruh negeri ini menerima sumbangan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, kurniaan ini bagi membantu meringankan beban rakyat terutama golongan yang memerlukan bantuan sempena Ramadan.

"Kurniaan ini merupakan bekalan barangan keperluan makanan harian seperti beras, tepung, gula, minyak masak dan beberapa keperluan makanan yang lain.

"Majlis ini merupakan simbolik kurniaan yang diserahkan kepada 12 pegawai daerah dan 20 penerima di daerah Kubang Pasu. Kurniaan barangan keperluan harian ini dilaksanakan melalui pendekatan secara agihan kepada 20 individu di setiap daerah," kata kenyataan itu pada Jumaat.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Paduka Ammar Shaikh Mahmood Naim dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pembangunan), Datuk Norizan Khazali.

Menurut kenyataan itu, penerima akan dipilih oleh pejabat daerah berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah dan disahkan oleh penghulu di peringkat daerah.

"Kurniaan ini melambangkan keperibadian Tuanku Sultan Kedah dan Tuanku Sultanah Kedah yang sentiasa cakna serta prihatin terhadap golongan rakyat yang memerlukan bantuan.

Artikel Berkaitan:

"Tuanku Sultan Kedah dan Tuanku Sultanah Kedah serta keluarga diraja baginda berharap supaya program seperti ini menjadi pemangkin kepada individu, syarikat dan pertubuhan yang lain untuk turut sama menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan pada masa hadapan," kata kenyataan itu.