Maqis rampas 3,748 kotak daging kerbau India

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas 3,748 kotak produk ruminan iaitu daging kerbau sejuk beku dari India pada Isnin dan Selasa lalu.
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas 3,748 kotak produk ruminan iaitu daging kerbau sejuk beku dari India pada Isnin dan Selasa lalu.
A
A
A

BUTTERWORTH – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas 3,748 kotak produk ruminan iaitu daging kerbau sejuk beku dari India pada Isnin dan Selasa lalu.

Pengarahnya, Noriah Dahlan berkata, pegawai penguatkuasanya telah menahan dan memeriksa dua buah kontena pada jam 5.32 petang, 5 April dan jam 12.50 tengah hari, 6 April lalu di Pelabuhan Pangkalan Kontena Utara Butterworth (NBCT) di sini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati keseluruhan dagangan tersebut telah dilabel dengan menggunakan maklumat yang tidak tepat seperti yang dinyatakan pada sijil halal yang diisytihar.

"Daging kerbau seberat 55,994 kilogram (kg) yang bernilai RM603,932 itu dirampas untuk tindakan selanjutnya.

"Kedua-dua kontena daging kerbau sejuk beku tersebut akan disiasat pada Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] iaitu mana-mana orang yang memberikan maklumat yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan keluaran pertanian adalah menjadi suatu kesalahan.

"Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-keduanya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya, Maqis sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit, bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Artikel Berkaitan: