Audio mirip Anwar, Zahid: Gambaran jajaran baharu politik, kata Abdul Hadi

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
A
A
A

MARANG - Pas menyifatkan penyebaran rakaman audio didakwa melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai gambaran kepada jajaran baharu politik.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, UMNO sebelum ini telah mengumumkan untuk mewujudkan jajaran baharu politik dan itu merupakan tanda-tanda penubuhan kerjasama berkenaan.

"Itu (audio) sebahagian daripada jajaran baharu, ia baru diumumkan dan itu tanda-tanda jajaran baharu," katanya selepas menyampaikan kuliah duha mingguan secara dalam talian di Masjid Rusila di sini pada Jumaat.

Bagaimanapun kata Abdul Hadi, Pas tidak akan menerima sebarang bentuk kerjasama bagi mewujudkan jajaran politik baharu melibatkan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen Marang itu menegaskan, Pas tetap konsisten menolak penubuhan jajaran baharu sebaliknya terus memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN).

"Kita terus dengan Perikatan Nasional bukan jajaran baharu, kita tolak jajaran baharu," katanya ketika mengulas rakaman audio didakwa melibatkan Ahmad Zahid dan Anwar yang tular sejak beberapa hari lalu.

Namun Ahmad Zahid dan Anwar masing-masing menafikan adanya perbualan antara mereka selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lepas.

Abdul Hadi berkata, parti itu juga tidak akan bekerjasama dengan UMNO jika wujud jajaran politik baharu bersama PKR kerana Muafakat Nasional yang dibina melibatkan beberapa parti lain dan PN digabungkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakaman audio didakwa mirip suara Anwar-Ahmad Zahid tersebar

Artikel Berkaitan:

Ditanya sekiranya rakaman audio didakwa melibatkan dua pemimpin utama itu benar-benar tulen, beliau menyerahkan kepada rakyat untuk menilai perkara tersebut.

"Tulen atau tidak saya tidak tahu. Cukup masyarakat menilai, sudah berapa kali tulen tak tulen, kerja macam itu sudah banyak kali.

"Kalau manifesto pun yang berjanji pun tak buat, jadi audio ini kecil saja," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: KDN siasat ketulenan dakwaan rakaman audio Zahid, Anwar

Rakaman suara mirip Anwar, Zahid tulen: Annuar