Dominasi politik Islam formula terbaik tadbir negara

Noor Nirwandy Mat Noordin
Noor Nirwandy Mat Noordin
A
A
A

SHAH ALAM - Formula dominasi politik orang Islam sebenarnya satu formula terbaik untuk mentadbir negara dan terbukti berjaya walaupun ia dikatakan bersifat retorik.

Penganalisis keselamatan dan politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, formula itu telah berjaya selama berpuluh tahun.

Menurutnya, formula itu berjaya sehinggalah satu model baharu iaitu negara bangsa Malaysia yang cuba dibawa dan dibentuk oleh Pakatan Harapan (PH), namun akhirnya ia menemui kegagalan.

"Ini membuktikan bahawa sebenarnya, (formula dominasi politik orang Islam itu berjaya) walaupun ia dikatakan bersifat retorik (atau) dikatakan bersifat satu perkara yang digembar-gemburkan.

"Lihat apa yang terjadi pada politik orang Islam pada hari ini yang bergeseran sesama sendiri tetapi realitinya itulah sebenarnya yang terbaik dan terbukti berjaya membangunkan negara.

"Ia membentuk satu elemen perpaduan dan menaikkan negara kepada satu tahap yang optimum atau stabil pada satu masa," katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-246 bertajuk ‘PN atau MN: Mana satu pendirian Pas' disiarkan menerusi dalam talian di Facebook Sinar Harian pada Khamis.

Wacana turut menampilkan Ketua Penerangan Pemuda Pas, Nazir Helmi dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii juga sebagai panelis, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Noor Nirwandy berkata, perkara itu perlu diberikan perhatian serius dan pergeseran berlaku pada hari ini adalah satu pergeseran yang masih mempunyai masa dan boleh diselesaikan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sekiranya parti ini faham bahawa dalam membentuk formula politik Melayu Islam hari ini ia perlu melalui faktor perbezaan kerana media sosial mengubah politik dengan begitu ketara.

"Pas mempunyai lebih kurang dua juta ahli, UMNO mempunyai tiga juta lebih ahli, tetapi di luar sana rakyat, ahli tidak berdaftar, tidak mempunyai parti politik mahukan supaya penyatuan ini berlaku khususnya di kalangan masyarakat Melayu Islam.

"Maka di sinilah berlakunya satu timbal balik, satu proses untuk melihat adakah formula perpaduan politik orang Islam hanya berkisar kepada peristiwa, rentetan sejarah, diskusi-diskusi di peringkat atasan di antara parti terbabit atau membawa suara rakyat yang sebenarnya.

"Inilah konteks yang perlu dinilai dan difahami kerana isu parti bersifat hierarki ini memang sudah menjadi satu budaya di Malaysia," katanya.

Katanya, melihat kepada hierarki pada tahap tertentu seperti presiden parti, Majlis Kerja Tertinggi serta pihak pihak tertentu dan ini merupakan budaya yang sedang berjalan selama ini.

Menurutnya, budaya sedemikian telah menyusun politik negara dan parti terkuat adalah mempunyai jumlah ahli yang ramai tetapi tidak dalam konteks media sosial dan kebanyakan masyarakat di luar.

"Di mana-mana negara khususnya Malaysia yang tidak berminat untuk menyertai parti politik, parti terkuat dan mempunyai ramai ahli bukan lagi menjadi faktor utama untuk menentukan sokongan mereka dalam pilihan raya.

"Ini dari segi asas pengundian dalam era baharu tetapi formula politik orang Islam itu masih relevan perlu kekal dominan dan perlu diteruskan," katanya.