Guru rugi RM5,000 ditipu 'rakan'

Gambar kecil: Mohd Wazir Mohd Yusof
Gambar kecil: Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Seorang guru pelatih mengalami kerugian RM5,000 selepas menjadi mangsa scammer yang menyamar sebagai rakannya pada Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, guru lelaki berusia 22 tahun dari Temerloh itu mendakwa dia dihubungi temannya bernama Ten untuk meminjam wang.

Menurutnya, lelaki itu memberi alasan beg duit dan telefon bimbitnya hilang dan dia memerlukan wang segera untuk membayar hutang.

"Mungkin simpati dengan masalah dihadapi 'rakannya' itu, mangsa membantu dengan masukkan wang RM5,000 ke akaun bank yang diberikan melalui transaksi pindahan wang secara dalam talian.

"Selepas menerima wang tersebut, suspek terus menghilangkan diri dan gagal dihubungi," katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohd Wazir berkata, mangsa sedar telah ditipu setelah menghubungi Ten (individu sebenar) dan lelaki itu menafikan dia ada menghubungi mangsa untuk meminjam wang.

"Susulan kejadian, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Temerloh pada Khamis untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang pekebun yang kesepian mendakwa rugi RM3,800 selepas tertipu dengan khidmat langganan teman wanita melalui aplikasi Dating Online.

Artikel Berkaitan:

Mohd Wazir berkata, lelaki berusia 21 tahun dari Raub itu telah berurusan dengan seorang wanita melalui aplikasi tersebut bagi mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan.

"Mangsa seterusnya dihubungi orang pengantara 'teman wanita' yang dilanggan dan diminta menjelaskan wang pendahuluan RM300 bersama wang keselamatan RM3,500 dengan menggunakan kad tambah nilai.

"Mangsa membuat bayaran tersebut sebelum diminta menjemput teman wanitanya yang akan menunggu di hadapan sebuah kedai serbaneka di bandar Raub pada malam Rabu," katanya.

Menurutnya, mangsa syak telah ditipu apabila wanita itu gagal muncul di tempat yang dijanjikan lalu tampil membuat laporan polis.

"Polis tidak menolak kemungkinan suspek menawarkan khidmat langganan teman wanita tidak wujud menggunakan aplikasi dalam talian itu," katanya.

Mohd Wazir berkata, kedua-dua kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.