Sanggup tangkap ikan dalam gelap

Sebahagian hasil tangkapan yang diperoleh.
Sebahagian hasil tangkapan yang diperoleh.
A
A
A

KUALA KEDAH - Sebuah bot nelayan kelas B sanggup menunda dalam kegelapan demi mengaut keuntungan dengan menceroboh kawasan larangan.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, bot itu ditahan di di kedudukan lebih kurang 2.0 batu nautika selatan Kuala Sala, semalam.

Menurutnya, bot nelayan ditahan kira-kira jam 2.20 pagi melalui rondaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Maritim Kuala Kedah.

"Melalui pemeriksaan, kita mendapati bot yang beroperasi awal pagi tidak menghidupkan lampu sebagai taktik dipercayai demi mengaut keuntungan berganda dengan menceroboh kawasan zon A.

"Bagaimanapun, tindakan nelayan tidak menyalakan lampu sedemikian dikhuatiri boleh menyebabkan kemalangan di laut," katanya.

Katanya, siasatan mendapati bot diusahakan nelayan tempatan berusia 49 tahun itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 atas kesalahan melanggar syarat sah lesen.

"Sehubungan itu, bot nelayan terbabit kemudiannya ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, pihaknya menegaskan bahawa pengusaha-pengusaha bot nelayan diingatkan mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan.

Artikel Berkaitan:

Sebarang aduan dan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.