Terma wilayah bezakan Sabah, Sarawak dengan Semenanjung

Jeffey (kanan) pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Mesyuarat Tahunan Pejabat Kementerian Pertanian Sabah di Kota Kinabalu.
Jeffey (kanan) pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Mesyuarat Tahunan Pejabat Kementerian Pertanian Sabah di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pertukaran terma wilayah kepada Sabah dan Sarawak adalah satu istilah yang membezakan dua wilayah ini dengan negeri-negeri di Semenanjung.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, wilayah di sini dalam konteks penubuhan Malaysia adalah tiga wilayah iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung bercantum untuk menubuhkan persekutuan.

"Ia sebagai satu istilah untuk membezakan Sabah dan Sarawak daripada negeri-negeri di Semenanjung, sebab sekarang kita tidak lagi bercakap tentang negeri Sabah dan negeri Sarawak tetapi kita bercakap tentang perkongsian sama taraf dengan Semenanjung iaitu Sabah dan Sarawak setaraf bererti tiga wilayah ini entiti yang sama.

"Jadi saya percaya kita perlu ada istilah yang lebih tepat dan lebih jelas supaya tiada kekeliruan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Mesyuarat Tahunan Pejabat Kementerian Pertanian Sabah pada malam Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung penukaran terma negeri Sabah dan Sarawak kepada Wilayah yang berkuatkuasa pada Khamis.

Beliau yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata, penggunaan terma wilayah kepada Sabah dan Sarawak juga menunjukkan dua wilayah ini lebih tinggi tarafnya daripada negeri.

"Dia (Sabah dan Sarawak) tinggi daripada negeri bukan setaraf dengan negeri-negeri di Semenanjung tetapi ada juga kekeliruan dengan Wilayah Persekutuan Labuan yang juga wilayah, jadi dilihat sebagai satu interpretasi yang berbeza.

"Wilayah Labuan ini lebih rendah daripada negeri tetapi Sabah lebih tinggi dari negeri di Semenanjung dalam konteks penubuhan Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memaklumkan penukaran terma wilayah itu selepas lawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Sarawak baru-baru ini dan beliau menyatakan bahawa Sabah serta Sarawak bukan negeri tetapi lebih tinggi yang disebut sebagai wilayah.