Hayat politik Zahid ibarat telur di hujung tanduk

Ahmad Zahid nafi adanya perbualan dengan Anwar seperti dalam rakaman audio yang tular.
Ahmad Zahid nafi adanya perbualan dengan Anwar seperti dalam rakaman audio yang tular.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hayat politik Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kini boleh diibaratkan seperti telur di hujung tanduk apabila semakin ramai pemimpin akar umbi tampil menggesa beliau meletakkan jawatan.

Hal ini susulan penularan audio rakaman perbualan telefon didakwa mirip suara Ahmad Zahid dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak Selasa lalu, sekali gus menggemparkan lebih 3.6 juta ahli UMNO dan rakyat Malaysia.

Meskipun Ahmad Zahid dan Anwar sendiri pantas menafikan kesahihan rakaman audio tular berkenaan, akar umbi UMNO dan rakyat masih gelisah dan keliru terhadap perancangan sebenar Presiden parti itu dalam menentukan hala tuju mendepani pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Justeru, Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff merayu Ahmad Zahid supaya mengundurkan diri dengan cara bermaruah sementara siasatan lanjut dijalankan pihak berkuasa polis dan Lembaga Disiplin parti.

"Kami mengalu-alukan tindakan beliau (Ahmad Zahid) untuk buat laporan polis dengan perkara itu perlu benar-benar direalisasikan bagi mengelakkan ahli-ahli UMNO terus berdepan kekeliruan.

"Bagaimanapun, bila dengar balik audio berkenaan, suara dua-dua (pemimpin) hampir sama.

"Paling menghairankan saya adalah mengapa perbualan berkisarkan perkara yang berlaku dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU)? Seolah-olah dakwaan ada perancangan bersama pihak luar itu benar-benar wujud," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Mustapa Kamal Mohd Yusoff
Mustapa Kamal Mohd Yusoff

Terdahulu, tular di laman sosial rakaman suara panggilan telefon berdurasi empat minit 17 saat mirip Anwar yang memuji ucapan Ahmad Zahid pada PAU 2020.

Bagaimanapun Ahmad Zahid dan Anwar sendiri menyangkal dakwaan penglibatan mereka di dalam rakaman suara tersebut.

Namun, bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menyakini rakaman audio tular berkenaan adalah tulen dan menggesa kedua-dua pemimpin melafazkan sumpah laknat.

Mustapa Kamal berkata, pendedahan terkini rakaman audio tular ditambah isu surat sokongan Presiden UMNO kepada Anwar yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong pada tahun lepas menyebabkan persepsi wujud 'pakatan' antara Ahmad Zahid dan Anwar semakin sukar diketepikan.

"Jadi kita minta Lembaga Disipin dan MKT untuk tengok perkara ini secara serius, jangan hanya melaksanakan pendakwaan terpilih terhadap ahli-ahli sahaja tetapi bila kait dengan pemimpin tertentu, tidak pula diambil tindakan.

"Nasihat saya kalau (Ahmad Zahid) perlu rehat, rehatlah. bukan makna kita tidak suka dan tidak mengenang jasa-jasanya.

"Sekarang ini suasana kepercayaan politik lain, saya yakin pengundi muda akan bersama parti asalkan kita memberikan satu keyakinan kepada mereka dalam bentuk kepimpinan," katanya.

Sentimen sama turut dikongsi Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pahang, Fadzli Mohamad Kamal yang menggesa parti untuk tidak lagi mengambil sebarang keputusan yang membelakangkan kehendak rakyat.

Rakaman audio perbualan telefon individu dikaitkan Zahid-Anwar benar-benar dilihat menimbulkan kegusaran dalam kalangan kepimpinan akar umbi UMNO ketika ini.
Rakaman audio perbualan telefon individu dikaitkan Zahid-Anwar benar-benar dilihat menimbulkan kegusaran dalam kalangan kepimpinan akar umbi UMNO ketika ini.

Jelas beliau, tindak-tanduk UMNO yang dilihat seolah-olah cuba mengenepikan peranan MCA dan MIC dalam koalisi Barisan Nasional (BN) juga membimbangkan akar umbi parti.

"Jangan jadi menang sorak, kampung tergadai. Kita tidak mahu sebegitu. Kalau BN betul-betul mahu gerak solo, kita kena jaga parti komponen kita.

"Bagi saya, sudah tibanya proses pemilihan UMNO diadakan bagi memberi ruang ahli-ahli parti sendiri menentukan mandat hendak diberikan kepada pemimpin lebih bersih dan berkualiti. Kalau terus beri alasan pemilihan parti tidak boleh dilakukan, mengapa pula sibuk tuntut pilihan raya?" tegasnya.

Sementara itu, pandangan berbeza diutarakan seorang lagi pemimpin akar umbi yang menyakini Ahmad Zahid masih menerima sokongan tidak berbelah-bahagi daripada ahli-ahli UMNO.

Bagi Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Mohamed Zulkepli Omar pula, beliau melihat isu rakaman audio Ahmad Zahid-Anwar tidak memberi sebarang kesan kepada Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memandangkan kesahihan dakwaan itu masih tidak dibuktikan.

"Rata-rata ahli UMNO di Kelantan masih menyokong Presiden UMNO dan menyuarakan persetujuan untuk UMNO dan BN bergerak secara solo pada PRU15.

"Lagipun, secara jelas Presiden UMNO tidak pernah membuat sebarang kenyataan mengesahkan beliau dan parti ada mengadakan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

"Saya lihat isu audio tular ini sekadar digunakan untuk memanaskan pertembungan antara kumpulan pro menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kumpulan pro Presiden UMNO. Saya enggan keruhkan lagi keadaan tetapi lebih baik kita tunggu dan lihat sahaja," katanya.