Kukuh akar umbi, bukan penting diri

No Image Caption
A
A
A

SELAMA 127 tahun kukuh mencengkam bumi, akhirnya pokok ikonik Melaka atau nama saintifiknya Peltophorum Pterocarpum yang ditanam sejak zaman penjajahan British pada tahun 1824 di hadapan Bangunan Merah Stadthuys, Banda Hilir Melaka rebah dalam kejadian angin kencang baru-baru ini.

Sungguhpun faktor cuaca menjadi punca rebahnya pokok lagenda itu, dalam perspektif lain dapat dilihat pokok yang berabad lama itu telah penat, akar yang tersekat berasakan dia sudah tidak bermanfaat. Disebabkan akar yang sepatutnya menyuburkan tanah tersekat, maka berdiam sampai mati sendirinya.

Begitulah manusia. Jika hidupnya disekat daripada memberi manfaat kepada orang lain, maka yang jujur akan mati. Sekuat mana pun akar, persekitaran yang ‘dicemar’ akan mereputkan asas yang kukuh. Inilah analogi yang berlaku dalam politik semasa di Malaysia. Rakyat semakin penat melihat gelagat ahli politik yang hanya memberi tumpuan kepada politik semata-mata sehingga kurang memberi tumpuan untuk berkhidmat kepada pengundi.

Seorang ahli politik yang baik adalah yang sentiasa peka terhadap denyutan nadi negara dan sentiasa mendengar suara-suara rakyat. Maka, berhentilah bertelagah dan ‘buat perangai’.

Bagi rakyat biasa di luar ruang lingkup parti politik, mereka memerhatikan keadaan itu. Amat memeningkan dan mengecewakan kerana melihat pendirian parti-parti Melayu yang mudah bertukar-tukar saban hari. Di manakah asas pendirian parti politik tersebut?

Rakyat menganggap ahli politik sebagai tamak dan hanya pentingkan diri sendiri. Ia perlu diubah segera. Ahli politik perlu sedar tindakan mereka membuatkan rakyat semakin muak. Kita perlu terima hakikat bahawa era hegemoni satu parti sudah berakhir, malah gabungan empat atau lima parti pun hanya mampu menang dengan majoriti tipis.

'Kebiasaan baharu’ untuk Malaysia bukan hanya melibatkan penjarakan fizikal dan pengasingan diri daripada masyarakat. Kini ia juga menentukan bagaimana politik harus digerakkan. Parti-parti dan ahli-ahli politik perlu mencari titik persamaan yang boleh membuatkan mereka bekerjasama dan memberi manfaat demi rakyat. Sebaik sahaja tamat pilihan raya nanti, perlu segera bekerja demi negara dan rakyat.

Monopoli dan hegemoni sudah tidak lagi wujud. Yang wujud hari ini adalah perkongsian kuasa. Mereka yang menang dan mereka yang kalah perlu duduk semeja memikirkan apakah terbaik untuk negara. Mereka perlu meneroka dan mempertimbangkan sedikit konsesi serta tolak ansur.

Artikel Berkaitan:

Kestabilan politik masa kini amat diperlukan kerana beberapa faktor iaitu negara sedang berdepan Covid-19 yang memerlukan fokus dan kerjasama semua pihak tanpa diganggu perbalahan politik atau lebih teruk lagi, sabotaj atau khianat yang didorong oleh kepenti-ngan politik peribadi.

2021 juga merupakan permulaan Rancangan Malaysia ke-12 yang amat penting untuk menjadi tapak permulaan rancangan ekonomi Malaysia dalam jangka masa lima tahun akan datang.

Golongan peniaga dan industri mengharapkan mandat baharu pilihan raya akan meneruskan dasar dan polisi masa kini seperti pelan Prihatin dan Penjana yang berterusan memberi bantuan kepada perniagaan. Selepas pili-han raya, keutamaan yang harus diberi perhatian adalah meneruskan suntikan fiskal ke dalam ekonomi domestik terutama suntikan fiskal langsung kepada individu, isi rumah dan peniaga.

Dana untuk pinjaman oleh perniagaan harus ditambah dan proses permohonan mendapatkan pinjaman itu perlu dipermudahkan serta bersasar kepada perusahaan mikro serta perusahaan kecil sederhana (PKS) terutama dalam kalangan peniaga bumiputera. Industri baharu seperti IR4.0 dan ekonomi digital juga perlu diberi keutamaan, selain meningkatkan penguasaan Malaysia dalam hab halal global.

Sikap tidak peduli dan besar diri dalam kalangan segelintir pemimpin, bahkan menganggap ‘wabak’ itu sudah berjangkit secara perlahan. Rendahkanlah diri, lapangkan dada dan luaskan pemikiran. Jangan terlalu ikut emosi dan amarah diri. Insya-ALLAH rakyat akan bersama.

* Penulis ialah bekas wartawan dan Pensyarah Kanan di Fakulti Komunikasi & Pengajian Media UiTM Cawangan Melaka