Saya berasa ditipu berkenaan 'smart partnership': Saksi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Saksi perbicaraan kes bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony berkata, beliau berasa ditipu oleh ahli politik itu berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Bekas Pengerusi Ulink Property Sdn Bhd, Datuk Abdullah Mohd Said, 66, memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa beliau juga telah dikenakan tindakan tatatertib dan didenda oleh pihak pengurusan UMS selain dipindahkan jawatan daripada pendaftar universiti kepada pengerusi anak syarikat milik penuh UMS pada 2015 akibat penipuan berhubung kontrak itu.

“Saya berasa sangat terkesan kerana ditipu oleh Peter dalam konteks ini kerana tujuan sebenar kami (pihak universiti dan syarikat milik Peter, Asli Jati Engineering Sdn Bhd) bekerjasama adalah berkenaan ‘smart partnership’ tetapi yang diluluskan adalah penyambungan kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) kepada Asli Jati,” katanya dalam nada sebak.

Abdullah berkata, program ‘smart partnership’ atau perkongsian pintar itu merupakan hasrat Peter untuk Ulink Property dan Asli Jati menjalin kerjasama, dengan syarikat tersebut akan membina bangunan di UMS Urban Transformation Centre (UTC) secara tanggungjawab sosial koporat (CSR) bagi kemudahan pelajar universiti menjalani latihan kemahiran, kursus jangka pendek dan lain-lain kursus.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin pada hari keempat perbicaraan kes Peter yang berdepan pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung kontrak kerja penyelenggaraan sistem tersebut. Peter adalah Pengarah Urusan Asli Jati.

Abdullah berkata, beliau membuat laporan polis di Balai Polis Putatan, Penampang, Sabah pada 27 Mac lepas kerana telah diganggu oleh Peter dan wakilnya melalui panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas dalam beberapa kejadian antara 6 November 2017 hingga 25 Mei 2021.

Abdullah berkata, laporan polis itu antara lain menyatakan pada 15 Oktober 2020, Peter melalui wakilnya meminta Abdullah menghubunginya berkenaan kes yang melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Datuk Peter minta saya mengakui sebuah dokumen sebagai ‘betul’ namun saya tolak pelawaan itu atas alasan saya hendak beri tumpuan kepada ibadah saya selain tidak berminat.

Artikel Berkaitan:

"Tujuan saya membuat laporan adalah bagi menjaga keselamatan saya dan keluarga serta takut mengganggu perjalanan perbicaraan kes Datuk Peter, di mana saya adalah salah seorang saksi bagi perbicaraan itu,” katanya.

Sementara itu, bekas Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS, Profesor Dr Shariff Abd Kadir Shariff Omang, 66, berkata, Peter juga telah memperdayakannya dengan meminta beliau menandatangani dua surat sokongan yang sepatutnya berkaitan program perkongsian pintar antara Ulink Property dan Asli Jati Engineering, namun surat yang ditandatangani adalah surat penyambungan tender.

Menceritakan kembali kejadian pada awal Julai 2014, Shariff berkata, beliau dan Abdullah telah bertemu Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Mohamad Harun Abdullah bagi memaklumkan mengenai program perkongsian pintar itu.

“Saya dan Datuk Abdullah memberitahu Datuk Mohamad Harun bahawa surat sokongan akan dikeluarkan kerana kerjasama ini akan membawa manfaat kepada UMS,” katanya yang turut dikenakan tindakan tatatertib kerana surat sokongan yang telah ditandanganinya.

Saksi pendakwaan kelapan itu berkata, pada 8 atau 9 Jun 2014, beliau telah menyerahkan dua keping surat kosong dengan kepala surat “Pejabat Naib Canselor” kepada seorang ahli perniagaan yang juga anak saudara kepada Abdullah, dikenali sebagai Mohd Shukur Mohd Din, yang juga rakan Peter.

“Saya masih ingat ketika pertemuan tersebut, saya tidak membuat kandungan surat dan tidak beri sebarang input untuk penyediaan surat sokongan tetapi saya ada menyatakan ia mestilah berkaitan program ‘smart partnership’ tersebut. Saya minta Mohd Shukur buat kerana saya tiada masa untuk sediakan,” katanya ketika membacakan penyataan saksinya.

Bagaimanapun, Shariff berkata, pada 9 Jun dan 11 Julai 2014, beliau diminta menandatangani dua surat berkaitan kerja operasi dan penyelenggaraan bagi sistem M&E di bangunan Fasa 2B bangunan dan infra di Kampus Induk (FPL/Pusat Rawatan Warga Luar Sikuati, Kudat) dan bangunan lain UMS selama lima tahun secara rundingan terus.

“Saya sahkan saya tidak menyediakan kandungan surat ini kerana ia berbeza dengan hasil perbincangan kami tetapi saya sahkan tandatangan ini adalah milik saya kerana saya telah tandatangan setelah diarahkan Datuk Peter.

“Untuk surat bertarikh 11 Julai 2014 saya tidak sempat baca kerana saya dipaksa dan tak diberi masa oleh Datuk Peter untuk membacanya. Saya tiada pilihan lagi memandangkan beliau adalah seorang individu yang sangat berpengaruh di Sabah. Jika saya tahu kandungannya lain dari apa yang dibincangkan, saya tidak akan tandatangan dan tidak setuju surat ini dikeluarkan,” katanya.

Saksi itu berkata, beliau tiada niat untuk menipu kerana tidak mendapat sebarang manfaat selain program perkongsian itu adalah kerjasama untuk kepentingan universiti dan bukan untuk lanjutan kontrak syarikat Peter.

Peter, 50, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun 2014 dan 21 Ogos 2014.

Beliau juga berdepan pertuduhan pilihan iaitu sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, menggunakan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan pernyataan palsu pada tajuk surat itu di tempat dan masa yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 19 April. - Bernama