Penyokong Kelantan kena sabar dulu

Peminat dan penyokong Kelantan masih belum dibenarkan menyaksikan perlawanan Liga-M di Stadium Sultan Muhammad IV susulan arahan kerajaan negeri Kelantan sebagai langkah membendung penularan Covid-19.
Peminat dan penyokong Kelantan masih belum dibenarkan menyaksikan perlawanan Liga-M di Stadium Sultan Muhammad IV susulan arahan kerajaan negeri Kelantan sebagai langkah membendung penularan Covid-19.
A
A
A

HAMPIR kesemua venue perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) yang mula menerima kehadiran semula penonton awal bulan ini menunjukkan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, hanya Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu yang digunakan pasukan Liga Premier Kelantan United FC dan Kelantan FC masih belum dibuka kepada penonton susulan arahan kerajaan negeri sebagai langkah membendung penularan Covid-19 di negeri berkenaan.

Beliau berkata, meskipun terdapat laporan pelanggaran SOP di beberapa venue, ia disifatkan sebagai kes terpencil dan tidak menjejaskan kejayaan badan pentadbir bola sepak itu serta pasukan bertanding dalam mengendalikan protokol pengurusan penonton ditetapkan kerajaan.

"Garis panduan SOP yang utama diikuti dengan begitu baik seperti kaedah kemasukan penonton, pembelian tiket dalam talian, mengamalkan penjarakan fizikal di tempat duduk penonton selain pergerakan keluar penonton selepas tamat perlawanan.

"Cuma untuk sesetengah venue ada kelemahan perlu diperbaiki dari semasa ke semasa antaranya apabila terdapat penyokong yang pergi ke tandas waktu rehat separuh masa perlawanan," katanya pada sesi ramah mesra bersama media di Ibu Pejabat MFL di Kelana Jaya pada Khamis.

Menurut SOP protokol pengurusan penonton ditetapkan, penyokong hanya dibenarkan ke tandas sebelum atau semasa perlawanan berlangsung.

Bermula awal minggu ini, aksi Liga-M menyaksikan penyokong kembali ke stadium selepas kejayaan dua perlawanan projek perintis kemasukan penonton ke stadium iaitu di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras masing-masing pada Jumaat dan Sabtu lepas.

Sementara itu, dengan pengenalan SOP ditetapkan kerajaan, Ab Ghani yakin perjalanan saingan Liga-M musim ini akan berlangsung seperti dirancang termasuk saingan Piala Malaysia yang dijadual bermula pada Ogos.

Artikel Berkaitan:

"Di peringkat MFL kita tidak nampak Liga-M akan ditangguhkan, kecuali ada kes melibatkan pasukan yang ingkar SOP yang telah ditetapkan sehingga terjadinya penularan COVID-19 dalam kalangan pemain dan pegawai pasukan," katanya.

Untuk rekod, saingan Liga-M musim lalu menyaksikan beberapa penangguhan terpaksa dilakukan selain jumlah perlawanan Liga Super serta Liga Premier dikurangkan dan kempen Piala Malaysia, Piala FA serta Piala Cabaran dibatalkan ekoran impak pandemik Covid-19. - Bernama