Rosmaini sudah tiada

No Image Caption
A
A
A

BEKAS penyerang skuad bola sepak negara negara dan Pahang pada era 70 dan 80-an, Rosmaini Mohd Shah meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan pada Khamis.

Adik Allahyarham, Abdullah, 65, berkata, Alllahyarham yang berumur 67 tahun meninggal dunia jam 3.15 petang akibat jangkitan kuman dalam darah.

"Abang mula dikesan menghadapi masalah kuman dalam darah pada Januari lepas menyebabkan dia ditahan dalam wad selama seminggu, sebelum dibenarkan keluar.

"Sejak itu, arwah beberapa kali dimasukkan ke hospital dan pada Mac lalu, kami diberitahu jangkitan itu telah merebak dan menjejaskan banyak organ lain," katanya semasa dihubungi.

Abdullah berkata, arwah yang merupakan anak kedua daripada sembilan beradik meninggalkan isteri, Azam Afiah, 66.

Rosmaini atau turut dikenali dengan sebagai 'Chud' mula aktif dalam bola sepak ketika berusia 16 tahun dan bermain dalam liga belia sebelum mewakili pasukan Tok Gajah serta beberapa kali beraksi untuk negara.

Allahyarham Rosmaini pernah menyarung jersi skuad Pahang dari 1976 hingga 1983 manakala jersi skuad kebangsaan pada 1980 hingga 1982.

Allahyarham pernah membantu Pahang menjulang Piala Malaysia pada 1983 dan johan Piala Emas Raja-raja pada 1981.

Artikel Berkaitan:

Kelincahan Allahyarham Rosmaini di atas padang turut mendapat perhatian pasukan Thailand sekitar tahun 80-an dengan beberapa siri perlawanan sehingga digelar Chud Lanun oleh pemain Thailand.

Jenazah Rosmaini dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Hutan Setali di Kuantan selepas solat Isyak malam ini. - Bernama