Apa nasib pekerja PPM, PHM?

Shuhadha (kiri) dan rakan sekerja ke PPM untuk ambil gambar mengesahkan kehadiran.
Shuhadha (kiri) dan rakan sekerja ke PPM untuk ambil gambar mengesahkan kehadiran.
A
A
A

SEREMBAN - Nasib 376 pekerja Pusat Perubatan Mawar (PPM) dan Pusat Hemodialisis Mawar (PHM) di sini, masih belum diketahui apabila Kementerian Kesihatan kelmarin mengambil tindakan menyita pusat perubatan berkenaan yang telah pun dibatalkan lesennya bulan lalu.

Sinar Harian difahamkan, seawal jam 7.30 pagi, kira-kira 40 kakitangan hospital berkenaan datang seperti biasa tetapi akhirnya terpaksa pulang kerana pintu pagar berkunci.

Pengawal keselamatan, Rohim Othman, 41, berkata, keadaan bagaimanapun terkawal dan kesemua pekerja berkenaan berkumpul kira-kira 45 minit sebelum beredar.

“Saya hanya beritahu pintu pagar berkunci, tak boleh masuk. Pegawai keselamatan juga minta saya maklumkan kepada semua pekerja supaya ke Pusat Rawatan Harian Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini.

“Saya pun dapat tahu hospital ini disita semalam (kelmarin) daripada kawan. Katanya, pihak berkenaan datang secara mengejut, yang lain saya tak boleh ulas lanjut kerana tak tahu apa-apa,” katanya.

Sementara itu, pekerja PHM dikenali sebagai Shuhadha berkata, pihak pengurusan meminta mereka datang seperti biasa dan mengambil gambar sebagai bukti.

Ini kerana katanya, ada sebahagian daripada mereka yang masih terikat dengan kontrak.

“Macam saya masih terikat dengan kontrak PHM selama lima tahun dan saya tak boleh keluar macam itu saja. Lagipun saya belajar pun pihak hospital yang hantar.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun hospital ini berdepan dengan krisis, tapi gaji kami tetap dibayar seperti biasa. Cuma ada kalanya lambat saja. Buat masa ini saya hanya tunggu arahan pihak pengurusan,” katanya.

Bagi pemandu PPM, yang mahu dikenali Chong, dia datang ke hospital seperti biasa kerana tidak tahu status sebenar pekerja.

Katanya, arahan penyitaan hospital dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, tetapi surat hitam putih berkenaan status semua pekerja masih belum diterima.

“Saya dah kerja di sini 10 tahun. Bila jadi macam ini, saya pun buntu apa tindakan yang perlu dibuat,” katanya.

No Image Caption

ARTIKEL BERKAITAN: Pesakit rawatan hemodialisis MMC dirujuk ke HTJ

Sementara itu, Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Sembilan, S Tharumarajan berkata, berdasarkan maklumat daripada pihak Pengurusan Sumber Manusia (HR) hospital berkenaan, kesemua pekerja diarah bekerja seperti biasa dan diminta mengambil gambar sebagai pengesahan kehadiran.

Beliau berkata, sejak Januari lalu, gaji kesemua pekerja dibayar seperti biasa dan tiada yang tertunggak.

“Setakat saya dimaklumkan pekerja perlu datang macam biasa sehingga diberitahu kelak. Pihak JTK juga akan dapatkan maklumat lanjut tentang kedudukan kesemua pekerja dan akan pantau dari semasa ke semasa,” katanya.

Kelmarin, Kementerian Kesihatan menutup operasi Pusat Perubatan Mawar setelah mendapati pusat perubatan itu gagal mematuhi keperluan perundangan bagi memastikan premis tersebut mempunyai lesen untuk beroperasi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam satu kenyataan berkata, tindakan penguatkuasaan itu diambil dengan waran selepas penguatkuasaan dijalankan di pusat perubatan tersebut.

"Lesen Mawar Medical Centre dibatalkan pada 14 Disember tahun lepas. Mawar Medical Centre juga didapati gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan untuk memastikan semua pesakit dialisis daripada Mawar Medical Centre mendapat rawatan selanjutnya di hospital swasta atau pusat hemodialisis swasta lain yang berlesen,” katanya dalam satu kenyataan.