Sistem Gred Air Nasional tidak bebankan pengguna: Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim (dua dari kiri) mencabut undi pada Majlis Undi Perdana Kerja-kerja di bawah Peruntukan KASA bagi Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka pada Khamis.
Tuan Ibrahim (dua dari kiri) mencabut undi pada Majlis Undi Perdana Kerja-kerja di bawah Peruntukan KASA bagi Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memberi jaminan sistem Gred Air Nasional bagi menetapkan harga mentah bekalan air mengikut gred kualiti tidak membebankan pengguna.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, objektif membangunkan sistem itu bagi membolehkan kerajaan negeri yang memiliki sumber bekalan air mentah pada gred tinggi dapat menjualnya ke negeri-negeri lain dengan harga lebih mahal dan secara tidak langsung mampu menjana ekonomi negeri.

Menurutnya, langkah itu juga akan dapat mengurangkan kerakusan dalam mengaut hasil hutan seperti pembalakan dan sebagainya yang telah memberi kesan kepada alam sekitar yang menjejaskan sumber air negara itu sendiri.

"Sistem ini tidak menjejaskan pengguna kerana hanya melibatkan jualan kepada operator air negeri atau negeri-negeri lain kerana ia melibatkan kos loji dan hasil air itu sendiri, jadi pengguna masih dapat harga yang sama," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Undi Perdana Kerja-kerja di bawah Peruntukan KASA bagi Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC) di sini pada Khamis.

Hadir sama, Exco Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Seri Idris Haron dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Abd Hakim Hamzah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, kerajaan juga akan memperkasakan pelaksanaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di setiap negeri bagi mengurangkan masalah gangguan air yang berlaku di beberapa negeri.

Menurutnya, pelaksanaan TAPS yang menggantikan sistem empangan dapat memanfaatkan sistem takungan air sedia ada malah berupaya mengurangkan risiko pencemaran di sungai-sungai utama yang boleh menjurus kepada masalah gangguan air seperti yang berlaku di Selangor.

Artikel Berkaitan:

Katanya, takungan air di TAPS akan mengurangkan pembaziran kerana sebelum ini 95 peratus daripada air yang dilepaskan ke laut tanpa dimanfaatkan sebaiknya.

"Sistem lama yang digunakan bila air tercemar, kita tiada alternatif lain kerana air biasanya disalurkan ke sungai-sungai utama.

"Dengan adanya TAPS, bila pencemaran berlaku, kita boleh gunakan air daripada takungan dalam tempoh sementara sehingga keadaan kembali pulih," katanya.