PNB agih pendapatan, bonus RM11.1 bilion

Zeti dan Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn mengumumkan laporan tahunan PNB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 secara maya pada Khamis.
Zeti dan Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn mengumumkan laporan tahunan PNB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 secara maya pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Permodalan Nasional Bhd (PNB) mencatatkan prestasi kewangan berdaya tahan dengan memberikan pulangan yang kompetitif menerusi pengagihan pendapatan dan bonus berjumlah RM11.1 bilion kepada pemegang unitnya bagi tahun kewangan 2020.

Jumlah itu menjadikan pengagihan pendapatan terkumpul PNB sejak awal penubuhan sebanyak RM211.3 bilion, yang mencerminkan kenaikan 5.5 peratus daripada RM200.2 bilion pada tahun sebelumnya.

Meskipun berdepan cabaran pandemik Covid-19, PNB telah berjaya meningkatkan Aset Di Bawah Pengurusan (AUM) sebanyak 3.4 peratus daripada RM312 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 kepada RM322.6 bilion pada 2020.

Unit Dalam Edaran (UIC) untuk semua 15 dana juga meningkat sebanyak 4.0 peratus untuk mencapai 264 bilion unit, setelah menerima lebih daripada 200,000 pemegang akaun baharu sepanjang tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan akaun sebanyak 14.5 juta.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz berkata, tahun 2020 merupakan tahun yang paling mencabar dalam sejarah, namun PNB telah memperoleh hasil yang signifikan daripada strategi transformasi yang dilaksanakan sejak tahun 2018.

Menurutnya, PNB telah berjaya menghadapi satu lagi iklim pelaburan yang sangat mencabar dan dapat menghasilkan tiga pencapaian yang memberangsangkan pada tahun 2020.

“Kami mengekalkan prestasi kewangan yang berdaya tahan, mencapai kemajuan ketara dalam usaha kepelbagaian portfolio dan meningkatkan lagi pengalaman pengguna kepada pemegang unit, terutamanya menerusi platform digital.

“Hasilnya, PNB telah berjaya meningkatkan AUM kepada RM322.6 bilion dan terus memberikan pulangan kompetitif berjumlah RM11.1 bilion sepanjang tahun ini.

Artikel Berkaitan:

“PNB terus mengorak langkah untuk menjadi institusi pelaburan bertaraf dunia. Selain strategi baharu untuk mempelbagaikan pelaburan kelas aset yang lebih luas di pasaran domestik, kemasukan kami di pasaran antarabangsa juga meningkat secara progresif.

"Kini, kami juga mengintegrasikan agenda kelestarian ke dalam pelaburan kami,” katanya mengumumkan laporan tahunan PNB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 secara maya pada Khamis.

Pada 2020, jumlah aset antarabangsa meningkat sebanyak 3.5 peratus untuk merangkumi 12 peratus daripada keseluruhan portfolio yang menghasilkan sumbangan yang jauh lebih besar iaitu 25.5 peratus kepada pendapatan kasar, berbanding 11.6 peratus pada 2019.

Daripada 12 peratus aset antarabangsa, 8.7 peratus terdiri daripada pelaburan ekuiti awam yang meningkat daripada 5.9 peratus pada tahun sebelumnya.

Dari segi komposisi pendapatan kumpulan, sumbangan ekuiti global meningkat 18 kali ganda daripada RM0.2 bilion pada tahun 2017 kepada RM3.7 bilion pada 2020.

Dalam pada itu, Zeti berkata, tahun 2020 juga menyaksikan PNB mempelbagaikan rangkaian produknya dengan pelancaran ASN (Amanah Saham Nasional) Imbang 3 Global pada September 2020, dana unit amanah pertama yang menumpukan kepada pelaburan global.

Katanya, dana ke-15 itu mendapat sambutan yang positif dengan pelaburan lebih daripada RM850 juta pada 31 Mac tahun ini.

“Produk inovatif lain yang turut diperkenalkan adalah Raiz Malaysia, aplikasi mudah alih pelaburan mikro pertama di negara ini yang mengumpul dan melaburkan wang baki pengguna secara automatik ke dalam dana harga berubah Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB).

“Sehingga Mac 2021, Raiz Malaysia telah berjaya menarik lebih 220,000 pendaftaran dengan dana di bawah pengurusan melebihi RM20 juta,” katanya.

PNB turut melancarkan tiga perkhidmatan baharu pada 2020 yang bertujuan meningkatkan pengalaman pengguna pemegang unit secara keseluruhan. Antaranya, kemudahan pengeluaran dalam talian, perkhidmatan pengurusan harta tanah patuh syariah dalam talian dan ASB Loan Helpdesk khusus untuk khidmat nasihat tentang perkara yang berkaitan dengan pembiayaan ASB (Amanah Saham Bumiputera).

Sementara itu, program literasi kewangan tahunan PNB, Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM), telah bertukar ke platform digital pada tahun 2020 dan menjadi Minggu Saham Digital (MSD).