Syor kerajaan nilai semula kaedah pemberian projek

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Kontraktor Jentera Mekanikal dan Elektrikal Melayu Malaysia (Baru) mengesyorkan agar kerajaan menilai semula kaedah pemberian projek kepada kontraktor.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Effandie Ahmad berkata, perubahan itu perlu dilakukan bagi menyekat aktiviti sindiket kartel projek kerajaan daripada berulang.

Beliau berkata, dengan wujudnya sindiket kartel yang tidak bertanggungjawab dan tidak bermaruah ini, telah mengakibatkan peluang kontraktor-kontraktor Bumiputera yang tulen dan layak untuk menjalankan kerja telah disekat.

"Pendirian persatuan ini diambil memandangkan kesan yang dilakukan oleh sindiket kartel selama ini telah memberikan kesan negatif dalam usaha kerajaan mencapai matlamat untuk mewujudkan kontraktor Bumiputera yang tulen dalam bidang pembekalan dan perkhidmatan jentera mekanikal dan elektrikal.

"Pihak persatuan juga bersedia pada bila-bila masa untuk berbincang dalam memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana agensi kerajaan dalam usaha membasmi aktiviti kartel ini jika diperlukan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Effandie turut menzahirkan sokongan sepenuhnya terhadap usaha dan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membanteras aktiviti sindiket kartel projek kerajaan.

"Usaha untuk meneruskan tindakan pembasmian yang lebih tegas oleh pihak SPRM amat dialu-alukan dan dihargai," katanya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, seorang pegawai kanan sebuah agensi kerajaan yang dipercayai terlibat dalam sindiket kartel projek yang ditumpaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ditahan pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Menurut sumber, lelaki berusia 38 tahun yang bekerja sebagai jurukur bahan gred 48 dipercayai terlibat dalam kerja-kerja penyediaan Bill of Quantity (BQ) bagi projek-projek yang ditawarkan agensi terbabit.