PGA edar gambar Geng Nicky

Nor Azizan (duduk) menunjukkan gambar Geng Nicky yang diedar kepada seluruh anggota yang bertugas mengawal sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini menerusi Op Benteng Covid-19.
Nor Azizan (duduk) menunjukkan gambar Geng Nicky yang diedar kepada seluruh anggota yang bertugas mengawal sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini menerusi Op Benteng Covid-19.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu sudah mengedarkan gambar Geng Nicky kepada seluruh anggota yang bertugas mengawal sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini menerusi Op Benteng Covid-19.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, langkah itu bertujuan mengelakkan ahli kumpulan geng itu meloloskan diri ke luar negara menggunakan lorong-lorong tikus.

"Semua anggota yang bertugas di lokasi sekat pintas telah diberikan gambar ini.

"Bagaimanapun, setakat ini belum ada sebarang perkembangan berkaitan individu yang sedang diburu itu," katanya kepada pemberita di Markas PGA Lubok Stol, di sini pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Kawalan ketat sempadan elak dalang Geng Nicky lolos: KPN

PDRM mohon kerjasama Interpol buru Nicky Liow

Menurutnya, PGA mengalu-alukan orang ramai untuk memberi kerjasama sekiranya ternampak suspek di sekitar kawasan sempadan dengan menghubungi pihak berkuasa.

Beliau berkata, rondaan berkala akan terus ditingkatkan dalam mengesan suspek selain membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan.

Artikel Berkaitan:

Nor Azizan berkata, PGA tidak menolak kemungkinan suspek masih berada di negara ini.

Sinar Harian 30 Mac lalu melaporkan polis melumpuhkan sindiket jenayah terancang Geng Nicky yang didalangi Pengasas Winner Dynasty Group, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee menerusi 70 serbuan pada 20 hingga 28 Mac lalu.

Serbuan di sekitar Lembah Klang dan Selangor oleh sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor serta Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 itu bertindak menahan 118 individu.

ARTIKEL BERKAITAN: Sindiket jenayah terancang Geng Nicky lumpuh

Dalang Geng Nicky lari bawa lapan beg berisi duit

Tiada kompromi pegawai sekongkol dalang Geng Nicky: KP Imigresen