Enam NGO terima peruntukan RM77,000

Mesran (duduk, tengah) bersama enam NGO yang menerima peruntukan sebanyak RM77,000 yang telah diluluskan JKKN pada Majlis Perasmian Perpustakaan JKKN Pahang di Kuantan pada Khamis.
Mesran (duduk, tengah) bersama enam NGO yang menerima peruntukan sebanyak RM77,000 yang telah diluluskan JKKN pada Majlis Perasmian Perpustakaan JKKN Pahang di Kuantan pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Enam Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) menerima peruntukan sebanyak RM77,000 daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bagi menjalankan aktiviti sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Mesran Mohd Yusop berkata, peruntukan itu disalurkan bagi menggalakkan NGO seni budaya untuk berkarya sekali gus menghasilkan produk berimpak tinggi walaupun melibatkan kos yang rendah.

"Saya yakin insentif ini dapat memberi mereka (penggiat seni) sokongan, dorongan dan galakan agar dapat menghasilkan sesuatu karya atau produk yang bermutu.

"Bila ada insentif seperti ini dapat membantu mereka menggalakkan kandungan (karya) tempatan yang baharu untuk dipaparkan kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Perpustakaan JKKN Pahang, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah JKKN Pahang, Dayang Kartini Awang Bujang.

Mesran berkata, sebanyak 12 permohonan daripada NGO seni budaya di Pahang diterima pada tahun lalu, namun, hanya enam NGO yang diluluskan.

"Semua NGO berpeluang untuk diberikan peruntukan. Jadi, kepada yang berminat boleh memohon insentif seni ini. Mereka perlu mendaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengikut Akta Pendaftaran Pertubuhan 1966 atau berdaftar dengan mana-mana pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

"Antara insentif seni yang ditawarkan oleh JKKN adalah berbentuk kewangan, ruang, kepakaran dan khidmat nasihat serta promosi melalui medium digital dan media sosial," katanya.

Mengulas mengenai perpustakaan JKKN, Mesran berkata, sebanyak 400 buku-buku koleksi terbitan JKKN dan seni budaya lain akan ditempatkan di jabatan itu.

Katanya, buku-buku tersebut dijadikan bahan rujukan untuk orang ramai.

"Kita berharap lebih banyak NGO, pengkaji-pengkaji, pelajar kolej serta universiti dan pelajar sekolah mengunjungi perpustakaan ini.

"Kita juga mahu memastikan perkhidmatan yang diberikan adalah yang terbaik oleh kakitangan JKKN Pahang kepada pengunjung," katanya.

Sehubungan itu, Mesran berkata, JKKN Pahang akan bekerjasama dengan Perpustakaan Awam Negeri Pahang dalam memberi latihan kepada kakitangan cara menguruskan perpustakaan.