Kedutaan sedang uruskan dokumentasi rakyat yang dibebas

Deddy Faisal Ahmad Salleh
Deddy Faisal Ahmad Salleh
A
A
A

KUCHING - Pihak Kedutaan Malaysia di Kemboja dan Wisma Putra kini giat membantu menguruskan dokumentasi kesemua 47 tahanan rakyat Malaysia yang telah dibebaskan dari pusat tahanan Banteay Mancheay, kata Pengarah Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri Deddy Faisal Ahmad Salleh.

Kesemua tahanan Malaysia itu telah dibebaskan pada petang semalam selepas beberapa perundingan dibuat dengan kerajaan Kemboja dan Malaysia.

Deddy Faisal yang turut bersama delegasi kerajaan Sarawak yang masih di Kemboja untuk berjumpa kesemua 47 rakyat Malaysia terbabit, berkata urusan dokumentasi tersebut dijangka siap selewat-lewatnya pada hari ini memandangkan ada segelintir daripada tahanan tidak memiliki pasport.

“Menurut mereka pasport telah diambil dan disimpan oleh sindiket yang menawarkan pekerjaan tersebut sebelum mereka dikurung di sebuah rumah. Setakat ini, tiada sebarang halangan dalam urusan dokumentasi,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, beliau bersyukur kesemua tahanan tersebut telah dibebaskan.

“Terima kasih kepada Wisma Putra, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Phnom Penh, kerajaan Kemboja dan Menteri Kanan Tugas-tugas Khas Kemboja, Datuk Dr Othsman Hassan.

“Sepanjang proses rundingan kita ikuti protokol antarabangsa antara Malaysia dan Kemboja, syukur akhrinya usaha membuahkan hasil dan kesemua tahanan akhirnya dapat kembali,” katanya.

Katanya, kerajaan Sarawak kini sedang dalam perbincangan untuk menyediakan penerbangan bagi membawa pulang semua warganya ke Kuching yang dijangka tiba esok. - Bernama

Artikel Berkaitan: