Stok beras Siam 'mutus'

Nor Azizan (kanan) dan pegawainya menunjukkan beras siam yang dirampas oleh PGA Batalion 9 Kuala Terengganu.
Nor Azizan (kanan) dan pegawainya menunjukkan beras siam yang dirampas oleh PGA Batalion 9 Kuala Terengganu.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Stok beras Siam di pasaran yang diseludup masuk secara haram ke negara ini dijangka berkurangan ataupun 'mutus' susulan rampasan bahan mentah seberat 9.79 tan itu oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu pada Khamis.

Rampasan jam 2 pagi itu dilakukan pasukan berkenaan di sebuah rumah yang masih dalam pembinaan di Kampung Limau Purut, Tanah Merah.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9 Kuala Terengganu, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, rampasan itu membabitkan nilai berjumlah RM39,164.

"Dalam serbuan itu, kita turut merampas 33 kampit beras pulut seberat 825 kilogram yang bernilai RM5,755," katanya pada sidang media di Markas Taktikal PGA Lubok Stol, di sini pada Khamis.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua beras itu dibawa masuk ke negara ini dengan menggunakan lorong tikus dan pangkalan haram yang terdapat di sekitar Sungai Golok.

Beliau berkata, bagaimanapun kesemua beras-beras tersebut dikumpul terlebih dahulu di kawasan rumah yang dalam pembinaan sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

Nor Azizan berkata, pihaknya kini sedang giat mengesan pemilik rumah berkenaan bagi membantu siasatan.

Katanya, penyeludup dikesan menggunakan taktik itu sejak tahun lalu bagi mengelakkan kegiatan haram itu dikesan oleh anggota penguatkuasa.

Artikel Berkaitan:

"Hasil pemerhatian yang kita lakukan, kesemua rumah ini terletak jauh dari kawasan penduduk manakala laluan masuk merupakan jalan mati," katanya.

Nor Azizan berkata, PGA kemudian melakar kemenangan kedua pada jam 3.30 pagi Rabu, apabila merampas 380 helai seluar jeans tiruan di tepi jalan dekat Taman Perumahan Rantau Mas, di sini.

Katanya, rampasan bernilai RM28,600 itu dilakukan selepas PGA menjumpai bungkusan guni yang ditanggalkan dalam keadaan mencurigakan di kawasan tersebut.