Hanya 29.38 peratus daftar suntikan vaksin Covid-19 di Kedah

Dr Mohd Fikri ketika menerima suntikan vaksin Covid-19 pada Februari lalu.
Dr Mohd Fikri ketika menerima suntikan vaksin Covid-19 pada Februari lalu.
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 452,808 individu atau 29.38 peratus daripada lebih 1.5 juta yang layak menerima vaksin Covid-19 di Kedah mendaftar sebagai penerima setakat Selasa.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang berkata, jumlah itu masih rendah berbanding bilangan yang perlu diberikan suntikan.

Menurutnya, daerah Kuala Muda mencatatkan pendaftaran tertinggi dengan 122,910 individu atau 33.87 peratus, diikuti Kulim 77,556 (33.71 peratus), Kota Setar 95,126 (28.98 peratus), Kubang Pasu 47,644 (27.51 peratus) serta Langkawi 21,336 individu (27.93 peratus).

“Daerah yang merekodkan peratusan rendah adalah Sik dengan 14,675 individu (27.74 peratus), Bandar Baharu 8,804 (26.44 peratus), Pendang 16,768 (22.51 peratus), Yan 12,116 (22.74 peratus), Baling 25,552 (23.96 peratus) serta Padang Terap 10,271 (20.79 peratus),” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

Dr Mohd Fikri berkata, sehingga Selasa, seramai 30,898 penduduk negeri ini telah menerima satu dos vaksin Covid-19, manakala 22,203 lagi telah menerima dua dos vaksin bagi melengkapkan vaksinasi mereka.

“Saya berharap sasaran imuniti kelompok yang memerlukan sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat diberi suntikan vaksin Covid-19 dapat dicapai segera.

"Ini kerana Kedah masih bergelut dengan pandemik Covid-19 apabila mencatatkan 8,601 kes positif dan 34 kematian, setakat Selasa,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, sebanyak 22 kluster dilaporkan melibatkan kes indeks di Kedah termasuk enam kluster baharu dalam dua minggu terakhir ini.

Artikel Berkaitan:

“Tujuh melibatkan kluster industri berpunca daripada jangkitan melibatkan penginapan pekerja yang sesak. Antaranya Kluster Selambau, Perdana, Jalan PKNK 3/3, Ria Jaya, PKNK 1/6, Perusahaan LPK dan Tapak Bina Padang Meha.

"Enam kluster melibatkan tempat kerja seperti pekerja pasar raya, institusi pendidikan, pusat rawatan kesihatan serta pusat tahanan, membabitkan Kluster Taman Batik, Jalan Day, Dedap, Orion, Amanjaya dan Delima Baiduri," katanya.

Dalam pada itu, Dr Mohd Fikri berkata, sembilan kluster pula melibatkan aktiviti sosial dan perhimpunan keluarga iaitu Kluster Gunung Raya, Keladi Saga, Kupang, Jalan Sekerat, Bunga Tanjung Bendahara, Layar, Emas Bemban, Bukit Sera serta Taman Peruda.

Menurutnya, kluster berkenaan merangkumi sembilan daerah iaitu, Kota Setar, Kuala Muda, Kulim, Baling, Yan, Sik, Pendang, Langkawi dan Kubang Pasu.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan di Kedah pada 28 Februari oleh Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor yang memperuntukkan semua rakyat dan bukan warganegara berumur 18 tahun ke atas layak menerima suntikan vaksin secara percuma.

PICK fasa satu melibatkan petugas barisan hadapan bermula 24 Februari, diikuti fasa dua untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas, golongan OKU dan pesakit kronik bermula 19 April, seterusnya fasa tiga membabitkan semua individu berumur lebih 18 tahun.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berharap semua penduduk berusia 18 tahun ke atas segera mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 terutamanya golongan berisiko tinggi seperti warga emas, pesakit kronik dan golongan orang kurang upaya (OKU) yang berisiko mendapat komplikasi dan berakhir dengan kematian apabila dijangkiti Covid-19.

“Kumpulan berkenaan dijangka mula disuntik dalam fasa kedua bermula 19 April ini. Bagi melayakkan anda menerima vaksin Covid-19, anda perlu mendaftar sebagai penerima melalui aplikasi MySejahtera, talian hotline atau laman web, vaksincovid.gov.my.

"Bantulah ibu bapa yang tiada kemudahan atau kemahiran untuk mendaftarkan diri sendiri, untuk keselamatan mereka,” katanya.

Pihaknya juga meminta Pusat Kesihatan Daerah (PKD) melipat gandakan kempen PICK agar lebih ramai tampil mendaftar untuk mendapatkan suntikan fasa kedua dan ketiga.

“Walaupun ia secara sukarela, namun perlu divaksinasi untuk elakkan risiko jangkitan dan demi keselamatan bersama. Saya akui program 'outreach' agak perlahan mungkin disebabkan secara manual, namun ia tetap diteruskan,” katanya.