PKPD di lima kawasan di Pekan, Pahang

Kerajaan memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lima kawasan taman perumahan dan perkampungan di Pekan, Pahang bermula 9 April hingga 22 April. Gambar hiasan
Kerajaan memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lima kawasan taman perumahan dan perkampungan di Pekan, Pahang bermula 9 April hingga 22 April. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lima kawasan taman perumahan dan perkampungan di daerah Pekan, Pahang bermula esok hingga 22 April.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan berkenaan berkait dengan Kluster Teknologi Peramu Jaya melibatkan pekerja kilang yang tinggal di Taman Mentiga Jaya, Taman Perdana, Perkampungan Peramu Jaya 3, Taman Sepekan Makmur dan Kampung Pulau Serai.

Menurutnya, pelaksanaan PKPD itu dilakukan setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) yang mengesahkan berlaku penularan jangkitan Covid-19 di lokaliti tersebut dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.

"Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 495 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 67 kes positif Covid-19 telah direkodkan daripada kluster ini," katanya dalam kenyataan mengenai PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) pada Khamis.

Justeru, Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD itu adalah untuk memastikan pergerakan penduduk di lokaliti berkenaan dapat dikawal bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 ke komuniti luar.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, 64 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) pada Rabu dengan 59 dikompaun dan lima lagi direman.

Bagi kawalan sempadan negara pula, beliau berkata 37, pendatang tanpa izin ditangkap dalam Operasi Benteng pada Rabu, selain enam kenderaan darat dirampas.

Beliau turut memaklumkan, seramai 1,306 warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 pada Rabu, dan daripada jumlah itu 37 didapati positif.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri berkata,secara kumulatif, seramai 677,690 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 melibatkan 35,066 majikan dan daripada jumlah tersebut, 10,199 disahkan positif manakala 667,491 lagi adalah negatif. - Bernama