Putera Mahkota Arab Saudi tunda lawatan ke Malaysia

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tiga, kiri) ketika membuat lawatan ke pameran Forsea KL ’19 Democracy Fest di Black Box Publika hari ini.
Turut sama Menteri Pertahanan Mohamad Sabu. (tiga, kanan) - Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tiga, kiri) ketika membuat lawatan ke pameran Forsea KL ’19 Democracy Fest di Black Box Publika hari ini. Turut sama Menteri Pertahanan Mohamad Sabu. (tiga, kanan) - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Malaysia telah dimaklumkan mengenai penangguhan lawatan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman ke Malaysia yang dijadualkan esok, namun tiada sebab diberikan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya tidak tahu sebab apa, cuma dia beritahu dia tidak hadir, itu sahaja maklumat saya dapat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucap utama dalam Pesta Demokrasi Kuala Lumpur 2019 anjuran Gerakan Pembaharuan Untuk Asia Tenggara (FORSEA) di sini, hari ini.

Turut turut hadir, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Sebelum ini, menurut Wisma Putra, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah telah menghubungi rakan sejawatannya dari Arab Saudi Adel al Jubeir mengenai penangguhan lawatan itu.

Agensi berita asing melaporkan Mohammed yang merupakan Pengerusi Majlis Hal Ehwal Ekonomi dan Pembangunan Arab Saudi sedang dalam rangka lawatan ke beberapa negara Asia bermula dengan lawatan ke Pakistan minggu ini.

Menurut laporan itu, dari Islamabad, Putera Mahkota Arab Saudi dijadual tiba di Kuala Lumpur pada Ahad untuk lawatan rasmi dua hari sebelum meneruskan lawatan ke Indonesia pada Isnin dan selepas itu ke India.

Lawatan Mohammed ke Malaysia adalah yang pertama selepas beliau dilantik sebagai Putera Mahkota Arab Saudi pada Jun 2017. - Bernama

Artikel Berkaitan: