Jasa pesara polis dikenang

Hasan Basri (dua dari kiri) ketika mengadakan lawatan Adni yang kini terlantar akibat menghidap penyakit paru-paru berparut di Kampung Chengal Lempong, Balok pada Rabu. -Foto ihsan polis
Hasan Basri (dua dari kiri) ketika mengadakan lawatan Adni yang kini terlantar akibat menghidap penyakit paru-paru berparut di Kampung Chengal Lempong, Balok pada Rabu. -Foto ihsan polis
A
A
A

KUANTAN - Jasa dan sumbangan yang dicurahkan bekas pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) tidak pernah dilupakan sebaliknya pengorbanan mereka akan terus dikenang dan disanjung selamanya.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Superintendan Azhari Nusi berkata, atas dasar itu, pihaknya sentiasa mengambil berat pesara polis dan menjaga kebajikan mereka sebaiknya.

"Mereka (bekas pegawai dan anggota) amat berjasa kepada negara, sebagai tanda penghargaan dan sokongan terhadap mereka oleh pucuk pimpinan Briged Tenggara PGA sentiasa mengadakan lawatan kebajikan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, Komander Markas Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar bersama pegawai dan anggota PGA telah melawat bekas anggota polis yang pernah berjuang menentang komunis, Adni Abd Ghani, 74 di kediamannya di Kampung Chengal Lempong, Balok.

Lawatan itu dilakukan sempena Sambutan Jubli Perak Penubuhan Briged Tenggara PGA Yang Ke- 50.

Pada 6 April lalu, Sinar Harian menyiarkan penderitaan bekas wira yang terpaksa bergantung hidup kepada alat bantuan pernafasan 24 jam sehari selepas menghidap penyakit paru-paru berparut dan kini hanya mampu terlantar.

Mengulas lanjut, Azhari berkata, lawatan itu bertujuan bagi menghulurkan sumbangan kepada keluarga Adni, sekali gus meringankan beban ditanggung ahli keluarga dalam menguruskan kos rawatannya.

"Komander Briged Tenggara PGA (Hasan Basri) turut memberi kata-kata semangat dan sokongan moral kepada Adni dan keluarga dalam menghadapi ujian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, Adni memasuki pasukan polis pada tahun 1969 dan memulakan kerjaya polis sebagai anggota infantri di Batalion 10 Pasukan Polis Hutan (PPH).

"Beliau juga pernah menyertai operasi-operasi dalam menentang pengganas-pengganas komunis dalam melindungi masyarakat dan negara yang tercinta daripada ancaman pengganas komunis pada ketika itu," katanya.