Agensi penyalur bantuan digesa perkukuh kerjasama: Zulkifli

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (dua, kanan) beramah mesra bersama salah seorang anak penerima bantuan MyHaus, Airiel Ashraf Azizi, 14, pada Majlis Penyerahan MyHaus 2021 Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Batu 13, Kampung Asam Kumbang, Bemban hari ini. -Foto Bernama
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (dua, kanan) beramah mesra bersama salah seorang anak penerima bantuan MyHaus, Airiel Ashraf Azizi, 14, pada Majlis Penyerahan MyHaus 2021 Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Batu 13, Kampung Asam Kumbang, Bemban hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

JASIN - Agensi penyalur bantuan di peringkat negeri dan Persekutuan diminta sentiasa memperkukuhkan hubungan kerjasama dalam memastikan bantuan yang disalurkan kepada golongan bersasar dapat dilaksanakan dengan cepat dan efisien.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, langkah itu juga dapat membantu agensi dan kementerian terlibat mencapai petunjuk prestasi utama yang ditetapkan setiap tahun.

"Menerusi kolaborasi yang dilaksanakan, mudah-mudahan kita dapat terus menabur bakti seperti membaik pulih rumah, melaksanakan pembinaan, menyediakan kiosk atau bantuan lain dengan cepat dan pantas.

"Banyak perkara yang berat dapat diringankan, yang susah dapat dimudahkan dan kita juga dapat maksimumkan tenaga kerja, sekali gus gerak kerja akan menjadi lebih teratur," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan MyHaus 2021 Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Batu 13, Kampung Asam Kumbang, Bemban di sini pada Khamis.

Pada majlis itu, Zulkifli turut menyampaikan sumbangan Program MyHaus 2021 yang keseluruhan bernilai RM25,000 meliputi bantuan baik pulih rumah, kiosk perniagaan, alat pernafasan, komputer riba dan bantuan tunai kepada keluarga Norfaraliza Nordin, 38, dan suami Azizi Abdul Hamid, 41.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, program MyHaus merupakan salah satu inisiatif penting bagi membantu golongan asnaf di negara ini untuk mendiami rumah yang lebih selamat, selesa dan secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti hidup mereka.

Sementara itu, Norfaraliza berkata, bantuan itu bukan sahaja memberi keselesaan tempat tinggal buat keluarganya, malah kiosk berkenaan membolehkannya menjalankan perniagaan ketupat yang mampu meningkatkan taraf hidup keluarga selain bantuan alat pernafasan bagi meringan kos rawatan dua daripada lima anaknya yang kerap diserang penyakit asma.

"Syukur Alhamdulillah memang saya tidak sangka mendapat bantuan dalam satu pakej yang lengkap ini. Sejak 2017 kami hidup dalam keadaan rumah yang tidak sempurna. Bumbung bocor, siling rosak dan ada bahagian berlantaikan tanah selain tandas tidak sempurna,” katanya menambah pendapatan suami sebagai tukang kebun hanya sekitar RM1,800 sememanganya tidak mencukupi untuk menyara mereka tujuh beranak. - Bernama

Artikel Berkaitan: