MCA tolak cadangan KPKT, tak mahu Malaysia jadi 'tong sampah' dunia

Mike Chong
Mike Chong
A
A
A

KUALA LUMPUR - MCA dengan tegas menolak cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mengkaji dan membangunkan industri rawatan sampah plastik di negara ini.

Timbalan Pengerusi Biro Publisiti MCA, Mike Chong Yew Chuan berkata, Malaysia masih belum terdesak sehingga perlu menerima sampah-sampah negara asing untuk meningkatkan pendapatan negara.

"Adakah negara kita sudah bersedia untuk menerima lebih banyak sampah plastik dan adakah kita mempunyai perancangan dan prosedur operasi standard (SOP) yang baik untuk menangani kemasukan sampah plastik ini bagi memastikan tidak berlakunya pencemaran alam sekitar," soalnya pada sidang media di Wisma MCA pada Khamis.

Dalam pada itu, Mike Chong turut menegaskan KPKT seharusnya memberi fokus kepada timbunan sampah dalam negara yang masih lagi belum ada perancangan penyelesaian yang baik.

"Kami berpendapat KPKT perlu memberi perhatian kepada timbunan sampah dalam negara yang sehingga sekarang ini masih belum ada jalan penyelesaian terbaik. Tidak perlu menerima sampah-sampah dari negara luar kerana ia akan menjejaskan negara dan juga generasi akan datang.

"Jangan kerana keuntungan di depan mata, sehingga kesihatan dan kesejahteraan rakyat kita dikorbankan," katanya.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata, kerajaan pada mulanya mahu mengenakan fi RM20 bagi setiap tan sampah yang diimport ke Malaysia dan turut mengatakan ia merupakan industri yang menguntungkan kerana mampu menjana pendapatan negara.

Mengulas lanjut, Mike Chong turut mempersoalkan mengenai bilangan Permit Import (AP) yang telah diluluskan untuk pengimportan sampah plastik.

Artikel Berkaitan:

"Mengikut statistik terkini, sebanyak 71 AP telah diluluskan untuk pengimportan sampah plastik, iaitu pertambahan sebanyak sembilan AP berbanding 62 AP di zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH). Jadi, kami ingin tahu adakah AP ini ada hadnya atau akan bertambah tanpa ada had maksimum?

"KPKT perlu mengurangkan pengimportan sampah dan merawat sampah plastik, bukan lagi memberi AP baharu," katanya.

Berdasarkan perkembangan itu, MCA bercadang menyerahkan memorandum bantahan dalam masa terdekat kepada pihak KPKT untuk menyatakan bantahan mereka berhubung cadangan untuk mengimport sampah plastik dari negera luar ke negara ini.

"Kita tidak mahu Malaysia menjadi 'tong sampah' dunia sekiranya perancangan ini betul-betul dilaksanakan," katanya.