Malaysia salur 50,000 dos vaksin kepada Bosnia-Herzegovina

Mohd Redzuan ketika memberi taklimat isu semasa mengenai Pengurusan Pandemik Covid-19 pada Program Malaysia Prihatin di Dewan Bandaran Alor Gajah hari ini. - Foto Bernama
Mohd Redzuan ketika memberi taklimat isu semasa mengenai Pengurusan Pandemik Covid-19 pada Program Malaysia Prihatin di Dewan Bandaran Alor Gajah hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR GAJAH - Malaysia akan menyalurkan 50,000 dos vaksin Covid-19 kepada Bosnia-Herzegovina yang tidak mendapat keutamaan memperoleh vaksin itu melalui fasiliti Covid-19 Vaccine Global Access (COVAX), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata, bantuan itu yang dipersetujui pada mesyuarat kabinet semalam, disalurkan atas nama kemanusiaan.

“Bosnia-Herzegovina telah memohon dan merayu agar Malaysia membantu mereka memandangkan jumlah kematian dan jangkitan di negara tersebut meningkat dan mereka sendiri berhadapan dengan diskriminasi oleh masyarakat Eropah.

“Jadi atas dasar keprihatinan, kita bersetuju memberi bantuan secara bilateral sebanyak 50,000 dos vaksin (kepada Bosnia-Herzegovina) kerana kita faham tidak semua negara bernasib baik seperti Malaysia yang memperoleh keutamaan dalam mendapatkan vaksin Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Malaysia Prihatin-Taklimat Isu-isu Semasa: Pengurusan Covid-19 di Dewan Majlis Perbandaran Alor Gajah di sini pada Khamis.

Beliau berkata, pemberian vaksin kepada negara lain itu tidak akan sesekali menjejaskan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan serta jadual pemberian vaksin kepada rakyat Malaysia walaupun dos itu diambil daripada kuota negara.

“Apa (vaksin) yang kita terima, kita asingkan sedikit untuk mereka (Bosnia-Herzegovina) sebab ia tidak jejaskan peruntukan kita untuk melaksanakan program vaksinasi nasional. Ini kerana kita akan terus menerima vaksin-vaksin tertentu untuk memenuhi sasaran hingga 70 hingga 80 peratus penerima vaksin,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Luar dan Kementerian Kesihatan akan menguruskan penghantaran bantuan, manakala jenis vaksin pula masih belum diputuskan kerana perlu mengambil kira kemampuan logistik negara itu terlebih dahulu. - Bernama

Artikel Berkaitan: