Ketua setiausaha digesa kaji pemberian tender kerajaan

Laporan muka depan akhbar Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Mohamed Arshad
Laporan muka depan akhbar Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Mohamed Arshad
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menggesa ketua setiausaha di semua kementerian untuk segera mengkaji semula tadbir urus pemberian tender projek kerajaan.

Presiden Patriot, Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, semua tender yang diberi perlu diteliti supaya elemen semak dan imbang dapat dilaksanakan bagi mengekang amalan rasuah.

Ini kerana menurutnya, penangkapan ketua sindiket kartel tender kerajaan membabitkan 345 projek berjumlah RM3.8 bilion pada Isnin lalu amat mengejutkan negara.

“Patriot memuji Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas penahanan ketua kartel tender yang memonopoli projek kerajaan.

“Pasti ada yang salah dengan pentadbiran serta pemberian tender kerajaan. Ini juga menunjukkan rasuah dalam negara kita terlalu teruk.

“Ketua setiausaha kerajaan dan di semua kementerian perlu segera mengkaji semula kaedah pemberian tender projek kerajaan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ujar Mohamed Arshad, siasatan menyeluruh perlu dilakukan kerana kegiatan demikian hanya boleh dilaksanakan dengan bantuan ‘orang dalam’ di peringkat kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

Katanya, adalah logik jika diandaikan sejumlah wang besar telah dibayar kepada ‘orang dalam’ yang mempunyai hubungan dengan orang atasan termasuk pemimpin politik.

Artikel Berkaitan:

“Memberi banyak projek kerajaan kepada satu entiti syarikat seakan mengetepikan kontraktor lain.

“Adalah sukar dipercayai jika pegawai kanan kementerian, ketua jabatan dan agensi tidak menyedari rasuah yang berlaku di bawah pengawasan mereka.

“Tidak kira sama ada mereka tahu, berpura-pura tidak tahu atau benar-benar tidak tahu,” katanya.

Pada Isnin, SPRM membongkar skandal kartel tender kerajaan selepas menahan tujuh individu termasuk ketua sindiket.

Sindiket kartel projek yang beroperasi sejak 2014 itu telah memonopoli sebanyak 345 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara dengan nilai projek RM3.8 bilion.

Ketua sindiket berusia 47 tahun itu dipercayai mengawal lebih 150 syarikat yang berfungsi untuk memasuki tender atau sebut harga di kementerian dan agensi yang terlibat.

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM tumpas sindiket kartel projek RM3.8 bilion

Kartel projek RM3.8 bilion: Pegawai kanan kerajaan diberkas

Wang tunai RM3.5 juta dalam rumah ketua sindiket kartel tender