Penduduk bimbang longgokan kayu jadi sarang haiwan berbisa

Hasmah (kanan) menunjukkan longgokan sisa kayu yang dikhuatiri menjadi sarang haiwan liar dan berbisa di Jalan Dulang-Kampung Teroi, di Yan pada Khamis.
Hasmah (kanan) menunjukkan longgokan sisa kayu yang dikhuatiri menjadi sarang haiwan liar dan berbisa di Jalan Dulang-Kampung Teroi, di Yan pada Khamis.
A
A
A

YAN - Longgokan sisa kayu akibat kerja-kerja penebangan pokok dekat Jalan Dulang-Kampung Teroi, di sini mencetuskan kebimbangan khususnya risiko keselamatan kepada penduduk.

Seorang penduduk, Hasmah Abu Bakar, 52, berkata, longgokan sisa kayu itu ditinggalkan begitu sahaja selepas ditebang tahun lalu sehingga naik semak dan dikhuatiri menjadi sarang haiwan liar dan berbisa.

Menurutnya, aduan berkaitan perkara itu pernah disuarakan kepada pihak berkaitan namun tiada tindakan.

"Seingat saya, pokok di tepi jalan ini ditebang tahun lalu difahamkan bagi memberi laluan kepada projek yang dirancang namun sisanya ditinggalkan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurut Hasmah, keadaan itu telah menimbulkan pemandangan tidak sihat, berisiko kepada penduduk warga emas dan kanak-kanak serta pengguna jalan raya yang terhalang pandangan akibat ketinggian longgokan kayu melebihi paras bumbung rumah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah, Ir Md Khuzai Hussain berkata, batang pokok tersebut perlu disimpan sementara untuk pelaksanaan proses pelupusan mengikut prosedur ditetapkan.

Beliau berkata, pokok tersebut adalah hak milik kerajaan negeri Kedah dan JPS sedang melaksanakan prosedur pelupusan di peringkat permohonan permit membawa keluar batang pokok kayu dari Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia yang melibatkan perakuan kerja membawa keluar pokok kayu daripada setiausaha kerajaan negeri melalui Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah.

"Proses membawa keluar ini akan mengambil tempoh sehingga hujung April 2021 selepas memperoleh kebenaran dari Jabatan Perhutanan Negeri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut katanya, JPS Malaysia sedang menyiapkan projek RTB Pendang untuk menaik taraf Sungai Pendang melibatkan tiga buah struktur jambatan, pintu air kawalan banjir dan terusan pengairan bagi mengatasi masalah banjir di Alor Setar dan Pendang.

Menurutnya, kerja-kerja menaik taraf struktur jambatan melibatkan jajaran pokok difahamkan bernilai tinggi yang diselenggara Majlis Daerah Yan di mana jajaran pokok terlibat perlu dan telah ditebang untuk memberi laluan kepada kerja yang sedang dilaksanakan di tapak.