MB Kedah ingatkan penjawat awam jauhi budaya bodek

Muhammad Sanusi ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Pagi Menteri Besar Kedah bersama Penjawat Awam Kedah di Dataran Wisma Darul Aman di Alor Setar pada Khamis. - Foto Ihsan Urusetia Penerangan Darul Aman
Muhammad Sanusi ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Pagi Menteri Besar Kedah bersama Penjawat Awam Kedah di Dataran Wisma Darul Aman di Alor Setar pada Khamis. - Foto Ihsan Urusetia Penerangan Darul Aman
A
A
A

ALOR SETAR - Penjawat awam di Kedah diingatkan tidak mengamalkan budaya membodek dalam menjalankan tugas dipertanggungjawabkan kepada mereka.

Perkara itu ditegaskan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor bahawa penjawat awam perlu menjadi pihak yang menyuarakan suara hati rakyat.

Menurutnya, penjawat awam perlu memaklumkan sebarang isu berlaku, memberi pandangan dan sebagainya bagi menangani sebarang situasi berbangkit.

"Jadi, saya minta berterus-terang dengan saya atau mana-mana ketua yang perlu mengetahui realiti yang dihadapi rakyat pelbagai peringkat," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Pagi Menteri Besar Kedah bersama Penjawat Awam Kedah di Dataran Wisma Darul Aman di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut katanya, penjawat awam juga perlu menitikberatkan niali murni seperti bersikap jujur, ikhlas dan bertanggungjawab dalam memberi tumpuan kepada kumpulan sasar di Kedah.

"Dengan ini, saya yakin kita akan berjaya menghasilkan keputusan paling baik untuk membawa kesejahteraan, kemakmuran dan keharmonian kepada 2.2 juta rakyat Kedah," katanya.

Dalam masa sama, Muhammad Sanusi turut berpesan supaya penjawat awam melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin selagi masih berkhidmat.

Ini kerana katanya, beliau pernah didatangi pegawai-pegawai kerajaan yang telah bersara seolah-olah mereka tidak berpuas hati dengan pencapaian ataupun usaha dilakukan ketika berkhidmat sebelum ini.

"Mengambil iktibar daripada pengalaman seperti ini, saya juga meminta penjawat awam di Kedah tidak mengulangi kesilapan tersebut, sekali gus melaksanakan amanah dan tanggungjawab sepenuh hati serta tidak memandang sesetengah perkara sebagai remeh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau bagaimanapun mengakui menerima kerjasama baik daripada semua pihak sama ada negeri ataupun Persekutuan yang sentiasa membantunya melaksanakan apa jua dasar dan polisi di peringkat negeri.