Kadar pengangguran Malaysia turun

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Kadar pengangguran Malaysia turun sedikit kepada 4.8 peratus pada Februari 2021 berbanding 4.9 peratus pada Januari, menurut Statistik Tenaga Buruh Malaysia.

Statistik bagi Februari 2021 itu menunjukkan jumlah penganggur susut sebanyak 5,000 orang atau 0.6 peratus kepada 777,500 orang daripada 782,500 orang pada Januari.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penganggur aktif yang ditakrifkan sebagai orang yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan berkurangan sebanyak 9,800 orang kepada 647,400 orang berbanding Januari sebanyak 657,200 orang.

“Mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan menyumbang sebanyak 50.6 peratus daripada jumlah penganggur aktif. Sementara itu, sebanyak 11.3 peratus penganggur aktif berada dalam pengangguran jangka panjang iaitu bagi tempoh lebih dari setahun,” katanya dalam kenyataan pada Khamis mengenai situasi tenaga buruh pada Februari 2021.

Mohd Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja meningkat 33,300 orang berbanding bulan ke bulan kepada 15.27 juta orang, berbanding Januari sebanyak 15.24 juta orang, merekodkan trend menaik selama tiga bulan berturut-turut.

Mengikut sektor ekonomi, beliau berkata, bilangan penduduk bekerja di sektor perkhidmatan terus meningkat terutamanya aktiviti perdagangan borong & runcit; pendidikan dan kesihatan kemanusiaan & kerja sosial, manakala dalam industri yang berkaitan dengan pelancongan kekal dalam trend menurun.

“Selain itu, bilangan penduduk bekerja di sektor pembuatan dan pembinaan kekal positif, manakala sektor pertanian dan perlombongan dan pengkuarian merekodkan pengurangan,” katanya.

Mohd Uzir berkata dengan bilangan penduduk bekerja terus meningkat manakala bilangan penganggur menyusut, tenaga buruh meningkat sedikit 0.2 peratus berbanding bulan ke bulan kepada 16.05 juta orang berbanding Januari iaitu 16.02 juta orang.

Artikel Berkaitan:

Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada Februari 2021 kekal pada 68.5 peratus, katanya.

Beliau berkata, bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu pada bulan tersebut berkurangan kepada 150,00 orang berbanding 158,900 orang pada Januari 2021.

Nisbah guna tenaga kepada penduduk menunjukkan kemampuan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga kekal pada 65.2 peratus pada Februari 2021, katanya.

Mengenai keseluruhan situasi tenaga buruh, Mohd Uzir berkata, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan dan sekatan perjalanan antara negeri yang berterusan, keadaan beransur pulih sejak awal Mac 2021.

Selain itu, beliau berkata, sektor pendidikan prasekolah dan sekolah rendah mula dibuka semula secara berperingkat yang memberi manfaat kepada aktiviti berkaitan sekolah terutamanya perkhidmatan bas sekolah, kantin sekolah serta kedai alat tulis dan buku.

“Keadaan ini dan ditambah pula dengan pembukaan semula lebih banyak aktiviti ekonomi sejak Februari 2021 akan menggalakkan lebih banyak permintaan dalam ekonomi dan seterusnya akan memberikan impak positif terhadap pasaran buruh.

“Dengan pemulihan ekonomi yang berterusan, permintaan buruh akan terus meningkat secara marginal dan penawaran buruh kekal kompetitif,” katanya. - Bernama