X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Bekas pengurus Air Pahang didakwa enam tuduhan rasuah

Sani Khan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas enam tuduhan menerima rasuah antara tahun 2014 hingga 2018.
A
A

KUANTAN - Bekas Pengurus Perolehan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Sani Khan Ali Khan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini atas enam pertuduhan menerima rasuah RM160,000 dan sebuah kereta mewah bernilai RM154,399.70 daripada pemilik syarikat kontraktor antara tahun 2014 hingga 2018.

Sani Khan, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Bagi pertuduhan pertama, Sani Khan didakwa menerima suapan iaitu sebanyak 50 peratus hasil keuntungan Syarikat Aliran Puncak Service untuk kerja membekal dan menghantar 'stopcock clamp' kepada PAIP daripada Mohd Azahari Mohd Ramli bagi membantu syarikat itu mendapatkan kerja-kerja membekalkan dan menghantar 'stopcock clamp'.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Tingkat 3, pejabat PAIP di Indera Mahkota di sini, pada 2014.

Bagi pertuduhan kedua hingga ke lima, bapa kepada tiga anak itu didakwa menerima suapan iaitu wang tunai RM160,000 daripada Mohd Azahari sebagai upah membantu syarikat terbabit mendapatkan tujuan sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan Sani Khan di Restoran Jaman Tory, Indera Mahkota, antara September 2016 sehingga Disember 2018.

Sani Khan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta Sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.

Bagi tuduhan terakhir, Sani Khan didakwa menerima sebuah kereta jenama jenis Mazda CX5 daripada Nor Amli Daud yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh yang mana telah melanggar peruntukan Akta SPRM 2009 (Akta 694) untuk menggalakkan integriti dan kebertanggungjawab pentadbiran sektor awam serta gagal melaporkan kesalahan penyogokan kepada SPRM.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Gabungan Suria Sdn Bhd, Jalan Tun Ismail, pada 9 Mac 2016.

Dia didakwa telah melanggar peruntukan Seksyen 25 (2) akta yang sama dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohammad Asyraf Mohamed Tahir menawarkan ikat jamin sebanyak RM50,000 bagi kesemua enam pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh.

Beliau juga mahu mahkamah mempertimbangkan syarat tambahan iaitu Sani Khan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Pahang pada minggu pertama setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga perbicaraan kes selesai.

Bagaimanapun, peguam Datuk Mohd Najid Hussain mewakili tertuduh meminta agar jumlah ikat jamin ditawarkan pihak pendakwaan dikurangkan.

Beliau berkata, jumlah itu cukup membebankan memandangkan anak guamnya masih menanggung tiga anak yang masih bersekolah selain perlu menyara ibu serta isteri.

"Tertuduh telah memberi kerjasama kepada pihak SPRM dan wang jaminan yang ditawarkan hanya untuk memastikan kehadiran anak guam saya ke mahkamah.

"Jadi, saya pohon jaminan yang lebih rendah dikenakan terhadap anak guam saya," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan dan kes disebut semula 10 Mei depan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!