Rakaman suara mirip Anwar, Zahid tulen: Annuar

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Rakaman audio perbualan antara dua individu mirip suara Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tular di media sosial sejak Rabu didakwa tulen.

Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebagai orang yang amat dekat dan rapat dengan kedua-dua tokoh politik itu, pengecaman suara di dalam audio tersebut bukanlah perkara rumit.

"Saya cuba mendengarnya 10 kali malam tadi, saya rasa saya boleh cam suara itu dan yakin 100 peratus ia tulen," katanya pada sidang akhbar pelancaran Blueprint Bandar Pintar Wilayah Persekutuan (MySmart Wilayah 2030) di kementeriannya di sini pada Khamis.

Menurutnya, kandungan percakapan antara kedua-dua individu berkenaan juga amat mengecewakannya.

"Saya bukan mempersoal kebebasan bercakap tetapi "content" percakapan itu jelas menunjukkan ada perancangan, kebersamaan dan perbincangan yang bercanggah dengan dasar 'No Anwar, No DAP' yang diputuskan parti," katanya.

Beliau mendakwa, sememangnya wujud hubungan kerjasama politik antara UMNO dan PKR.

"Saya sangat berkeyakinan memang ada perhubungan dan perhitungan...Gunalah apa sahaja, boleh guna konspirasi," katanya.

Annuar berkata, hubungan itu boleh dilihat termasuklah surat sokongan kepada Anwar yang ditandatangani oleh Ahmad Zahid, namun dinafikan.

Artikel Berkaitan:

"Kemudian kenyataan media mengenai tuntutan mengadakan sidang Parlimen. "Copy paste" (surat) juga membuktikan ada muafakat di belakang tabir.

"Sekarang keluar pula rakaman audio," katanya.

Pada Rabu, tular di laman sosial rakaman suara panggilan telefon berdurasi empat minit 17 saat mirip Anwar yang memuji ucapan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO 2020.

Bagaimanapun Ahmad Zahid menyangkal dakwaan penglibatannya di dalam rakaman suara tersebut.

Pada perkembangan sama, Annuar menggesa Ahmad Zahid dan Anwar mencontohi Datuk Seri Najib Tun Razak yang melafazkan sumpah laknat berhubung dakwaan mengeluarkan arahan membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

"Sebab kalau nak buat laporan polis, nak tunggu polis siasat, kemudian siasatan polis tidak serupa yang mereka hendak, dia kata pula polis berkonspirasi... tak pasal-pasal pula.

"Jadi, ia tak akan selesai sampai bila-bila kerana yang menjadi saksi itu mereka berdua yang bercakap serta ALLAH SWT. Itu saja. Orang lain, siapa dia?," katanya.

Menurutnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) boleh mengaturkan lafaz sumpah laknat berkenaan sekiranya Ahmad Zahid dan Anwar bersetuju.

"Pergi ke Masjid Kampung Baru, DBKL boleh aturkan," katanya.

Tambahnya, selain melakukan sumpah laknat, Ahmad Zahid juga perlu melepaskan jawatan Presiden UMNO.

"Saya berharap presiden berani untuk mengambil tanggungjawab atas apa yang dia lakukan, bertindak jujur dan mengambil tauladan.

"Saya berpandangan Ahmad Zahid harus mengambil langkah sama mencontohi pemimpin UMNO terdahulu tanpa perlu ada sesiapa memaksa.

"Renunglah dengan mata hati, fikirlah apa yang terbaik untuk parti supaya parti tidak terbeban akhirnya," katanya.



ARTIKEL BERKAITAN: Rakaman audio didakwa mirip suara Anwar-Ahmad Zahid tersebar

ARTIKEL BERKAITAN: Zahid nafi perbualannya bersama Anwar

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar nafi audio perbualan bersama Zahid