X

Kindly register in order to view this article
!

Pelancongan Kedah pasca pandemik kembali rancak

Kemudahan seperti tandas akan dinaik taraf selain cadangan pembinaan dataran akan dibina di Pulau Songsong dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung selepas pandemik Covid-19.
A
A

YAN – ‘Pakej Pelancongan ke Daerah Kuala Muda dan Yan Pasca PKP’ yang dilancarkan Tourism Malaysia dengan kerjasama pemain industri dijangka mampu merancakkan kembali sektor pelancongan Kedah yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, Yoganthiran Manikam berkata, ini menunjukkan Kedah bersedia menerima pelancong dengan mengikuti piawaian pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sebaik sahaja kebenaran merentas negeri dibenarkan kelak.

Menurutnya, lebih 10 lokasi menarik disenaraikan termasuk Tapak Tamadun Awal Sungai Batu, Muzium Arkeologi Lembah Bujang, ladang nira di Tanjung Dawai, ladang tiram di Sungai Merbok, Pantai Merdeka, Pulau Songsong, Pulau Bidan, Pulau Telur dan Gunung Jerai.

“Kita mengharapkan agar pakej yang ditawarkan dapat merancakkan kembali industri ini sekali gus menambah kehadiran pelancong ke Kedah,” katanya ketika menyempurnakan pelancaran Pakej Pelancongan ke Daerah Kuala Muda dan Yan Pasca PKP di Pulau Songsong pada Rabu.

Pulau Songsong dikelilingi oleh tiga pulau lain iaitu Pulau Bunting, Pulau Bidan dan Pulau Telur.
Pulau Songsong dikelilingi oleh tiga pulau lain iaitu Pulau Bunting, Pulau Bidan dan Pulau Telur.

Sementara itu, Pengurus Kedah Tourism, Nor Azlan Fitri Abd Razak berkata, beberapa kemudahan asas di lokasi pelancongan akan dinaik taraf sesuai dengan kesediaan untuk menerima lebih ramai pengunjung dalam masa terdekat.

“Contohnya di Pulau Songsong ini, beberapa kemudahan seperti tandas, surau, sumber air dan elektrik akan diberi perhatian dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, antara cadangan penambahbaikan lain termasuk pembinaan dataran dan kemudahan lampu di sekeliling Pulau Songsong selain menempatkan petugas bagi memantau tahap kebersihan serta keselamatan.

Spesis terumbu karang tarikan Pulau Songsong

Pulau Songsong yang terletak 4.5 batu nautika dari pantai merupakan satu daripada gugusan pulau di Daerah Kuala Muda dan Yan (Pulau Songsong, Pulau Telur, Pulau Bunting dan Pulau Bidan) antara pulau yang mempunyai terumbu karang di Malaysia.

Pengerusi Komuniti Bot Songsong,Yani Madewnus Yunus berkata, kajian yang dilaksanakan Jabatan Taman Laut Malaysia menemui banyak spesis terumbu karang di Pulau Songsong, bagaimanapun tidak dijaga rapi berikutan pencerobohan pukat tarik selain kewujudannya tidak disedari sebelum ini.

Batu kawi berwarna merah di pesisiran pantai Pulau Songsong yang terhasil akibat rekahan kerak bumi.
Batu kawi berwarna merah di pesisiran pantai Pulau Songsong yang terhasil akibat rekahan kerak bumi.

“Pulau Songsong yang kaya dengan biodiversiti turut tersenarai dalam Jerai Geopark kerana mempunyai khazanah bernilai tinggi berikutan kewujudan batu kawi berwarna merah di pesisiran pantai yang terhasil akibat rekahan kerak bumi, paling unik di negara.

“Biarpun tidak berpenghuni dan perlu ke sana menggunakan bot, namun lokasi ini sering menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara untuk bermalam di sini dengan membawa kelengkapan sendiri semata-mata mahu menikmati keindahan flora dan fauna. Airnya yang jernih, pantai yang luas, suasana tenang dan mendamaikan serta pemandangan cantik kerana dikelilingi pulau dan hidupan laut lain.

Pakej pelancongan yang disediakan turut menawarkan perkhidmatan bot dan insurans perlindungan diri kepada pengunjung.
Pakej pelancongan yang disediakan turut menawarkan perkhidmatan bot dan insurans perlindungan diri kepada pengunjung.

“Kita yakin selepas diangkat dan dikenali umum dalam pakej pelancongan Kedah selepas pandemik ini, semua khazanah bernilai ini akan terus dipelihara dengan bantuan semua pihak,” katanya.

Selain itu, Pengarah Urusan MLS Travel and Tours, Ng Kooi Wei berkata, pihaknya menawarkan pakej serendah RM138 seorang termasuk insurans perlindungan diri, yang mana pakej ini telah bermula Mac lalu dalam jumlah kumpulan kecil.

Menurutnya, pematuhan kepada SOP sentiasa dititik beratkan termasuk memastikan pelancong sentiasa memakai pelitup muka dan menggunakan cecair pembasmi kuman dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Tourism Malaysia melancarkan 'Pakej Pelancongan ke Daerah Kuala Muda dan Yan Pasca PKP' di Pulau Songsong pada Rabu.
Tourism Malaysia melancarkan 'Pakej Pelancongan ke Daerah Kuala Muda dan Yan Pasca PKP' di Pulau Songsong pada Rabu.

Turut diadakan dalam kunjungan sama, aktiviti gotong-royong membabitkan 60 sukarelawan membersihkan pantai dengan mengutip sampah seperti botol, plastik dan sisa buangan yang dikumpul sebelum dibawa balik dengan tujuan mengekalkan keindahan pulau tersebut.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!