X

Kindly register in order to view this article
!

Peniaga baja mengaku tidak bersalah beri rasuah

Tertuduh dibawa keluar dari mahkamah selepas selesai pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim S Indra Nehru di Ipoh.
A
A

IPOH - Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh di sini pada Rabu atas pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM30,150 kepada seorang penjawat awam, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Lee Soon Teck, 52, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan selesai dibacakan dalam bahasa Hokkien di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberi suapan berbentuk wang tunai kepada Pembantu Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya, Muhammad Fithry Hassan.

Ia sebagai dorongan untuk melepaskan tertuduh daripada diambil tindakan undang-undang kerana menyimpan baja bersubsidi tanpa lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Bapa kepada empat anak itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah premis di Batu 6, Jalan Baru, Parit Buntar, kira-kira jam 10.30 pagi pada 8 Oktober 2018.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun, didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan pilihan, pendakwaan kemukakan pertuduhan sama mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak sampai 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin menawarkan jaminan RM60,000 berserta syarat tambahan tertuduh diminta melaporkan diri ke pejabat SPRM berhampiran di Taiping.

Bagaimanapun, tertuduh diwakili peguam Mohd Irfan Mohd Arshad memohon mahkamah menetapkan jaminan rendah kerana tertuduh perlu menyara isteri dan empat anaknya berusia 23 hingga 14 tahun yang masih belajar.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melaporkan ke pejabat SPRM sehingga kes selesai.

Kes disebut semula pada 22 Julai ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!