Hanya 90 minit pisahkan PSG ke separuh akhir

Mbappe (tengah) cuba melepasi halangan pertahanan Bayern Munich.
Mbappe (tengah) cuba melepasi halangan pertahanan Bayern Munich.
A
A
A

PENGENDALI Paris St Germain (PSG), Mauricio Pochettino menegaskan hanya 90 minit yang memisahkan skuad kendaliannya itu dengan slot separuh akhir Liga Juara-Juara musim ini, apabila menewaskan gergasi Bundesliga, Bayern Munich pada aksi suku akhir pertama, di Allianz Arena pada awal pagi Khamis.

Menurut Pochettino, kemenangan berkenaan nyata satu pencapaian baik buat PSG kerana selain mencerahkan peluang ke separuh akhir kali ini, mereka juga telah berjaya menewaskan salah satu kelab terbaik di Eropah pada ketika ini.

“Sudah semestinya saya gembira dengan keputusan ini, ditambah dengan sikap yang ditunjukkan oleh pemain walaupun menyedari mereka sedang berdepan dengan kelab terbaik di Eropah.

“Oleh itu, bagi saya kredit sewajarnya diberikan kepada pemain atas ‘pengorbanan’ yang mereka telah lakukan selama ini selain berazam untuk meneruskannya pada masa akan datang.

“Namun, kita masih ada 90 minit untuk diharungi dan walaupun aksi pertama ini agak ‘menguntungkan’ kita, tetapi dijangkakan aksi kedua kelak akan menjadi lebih ‘sukar’ untuk diharungi,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, PSG membuka jaringan menerusi Kylian Mbappe seawal minit ke-3 sebelum Marquinhos menambah jaringan pada minit ke-28.

Pemain Bayern Munich, Eric Maxim Choupo Moting kemudiannya merapatkan jurang gol menerusi jaringannya pada minit ke-37 sebelum Thomas Muller menjaringkan gol kedua pada minit ke-60.

Bagaimanapun, Mbappe sekali lagi menjaringkan gol ketiga PSG pada minit ke-68 yang juga gol kemenangan PSG pada aksi suku akhir pertama berkenaan yang sekali gus memberikan sedikit kelebihan buat PSG menjelang aksi suku akhir kedua di Parc des Princes, 14 April ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mbappe berkata, dia dan rakan-rakan sepasukan akan terus mengekalkan fokus bagi mengharungi aksi suku akhir kedua kelak.

“Apa pun bagi saya, ini hanyalah perlawanan pertama dan masih ada satu lagi perlawanan yang perlu diharungi dan kami perlu kekal fokus.

“Walaupun kami berdepan kesukaran ketika menentang Bayern Munich, tetapi rakan-rakan sepasukan telah beraksi dengan cukup baik untuk menghasilkan kemenangan," katanya.