Dadah bernilai hampir RM222 juta dirampas

Razarudin (kanan) menunjukkan antara dadah yang dirampas ketika sidang akhbar di Balai Polis Pelabuhan Klang pada Khamis.
Razarudin (kanan) menunjukkan antara dadah yang dirampas ketika sidang akhbar di Balai Polis Pelabuhan Klang pada Khamis.
A
A
A

KLANG - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman merampas sebanyak 650 kilogram dadah jenis Captagon bernilai lebih RM222 juta dalam sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang di sini pada Selasa.

Rampasan itu merupakan hasil kerjasama antara JSJN Bukit Aman dan Direktorat Jeneral Pengawalan Narkotik Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, Bahagian Risikan Antarabangsa JSJN sebelum itu mengesan sebuah kapal yang berlabuh di lokasi.

"Maklumat risikan mendedahkan sebuah kontena daripada kapal pertama akan dipindahkan ke kapal kedua yang akan meneruskan perjalanan ke Singapura pada 6 April.

"Hasil pemeriksaan mendapati kontena tersebut mengandungi sejumlah 19 palet kayu berisi kotak di mana setiap kotak mengandungi empat unit aluminium 'floor spring'.

"Jumlah keseluruhan kotak adalah sebanyak 889 kotak. Imbasan dijalankan menimbulkan imej yang mencurigakan dalam aluminium 'floor spring' tersebut," katanya ketika sidang akhbar di Balai Polis Pelabuhan Klang di sini pada Khamis.

Antara dadah yang dirampas dalam sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada Selasa.
Antara dadah yang dirampas dalam sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada Selasa.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati 875 kotak daripada 889 kotak mengandungi pil Captagon.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah keseluruhan pil Captagon dirampas ialah sebanyak 3.86 juta biji dengan anggaran berat keseluruhan 650 kilogram. Rampasan pil ini dianggarkan bernilai RM221,85 juta," kata beliau.

Menurutnya, siasatan dijalankan mendapati pil Captagon itu mengandungi dadah jenis amphatamine.

"Dadah jenis ini menimbulkan rasa berani. Ia banyak digunakan oleh militan seperti Daesh dan ISIS, namun akan memberikan kesan buruk kepada mereka yang mengambilnya.

"Siasatan dijalankan juga mendapati belum terdapat dadah ini di Malaysia setakat ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Tambah beliau, polis akan sentiasa menjalinkan kerjasama antarabangsa dalam berusaha mengekang aktiviti penyeludupan dadah rentas sempadan negara, sekali gus menjadikan Malaysia negara transit dadah.