Semenyih medium rakyat suarakan kemarahan: Asyraf Wajdi

 Asyraf bergambar bersama penyokong BN dan Pas semasa menghadiri Hari Penamaan Calon bagi PRK DUN Semenyih.
Asyraf bergambar bersama penyokong BN dan Pas semasa menghadiri Hari Penamaan Calon bagi PRK DUN Semenyih.
A
A
A

SEMENYIH - Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan PRK DUN Semenyih merupakan referendum untuk rakyat menyatakan kemarahan kepada kerajaan PH.

Menurutnya, sepanjang pertemuan Pemuda Umno dengan penduduk di Semenyih sejak minggu lepas, ramai menyatakan rasa kurang senang dengan kepimpinan kerajaan.

Beliau turut melaungkan nada positif dengan peluang BN dalam PRK DUN Semenyih.

“Saya amat positif apatah lagi Pemuda bergerak lebih awal. Seminggu sebelum ini kita bertemu masyarakat dan kita lihat sokongan rakyat di sini amat terserlah.

“Mereka ingin menzahirkan kemarahan, kekecewaan mereka kepada PH yang mereka kata ini kerajaan Malaysia palsu.

“Ini sudah jadi macam mantera. Bagi mereka kerajaan ini sudah haru-biru,” katanya kepada Sinar Harian semasa ditemui ketika menghadiri proses Penamaan Calon, di sini, pagi tadi.

Dalam pada itu, mengulas kerjasama Pas dan Umno, Asyraf Wajdi menyatakan kerjasama kedua-dua parti itu sudah naik ke tahap yang lebih baik dan ia bermula di PRK Parlimen Cameron Highland.

“Saya nampak keikhlasan dan kejujuran kedua-dua parti adalah amat mengujakan. Saya nampak sudah naik ke satu tahap yang lebih baik bermula di Cameron Highland.

Artikel Berkaitan:

“Kalau dulu di PRK Sungai Kandis, Seri Setia, kita tidak sampai ke tahap penggabungan jentera. Hari ini kita dapat lihat di Semenyih, penggabungan jentera lebih nampak.

“Kita juga dah ada beberapa mesyuarat penyelarasan,” ujarnya.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon, PSM, PH, BN dan Bebas.

Penyandang kerusi ini iaitu PH mencalonkan jurutera muda, Muhammad Aiman Zainali, 30 dan BN pula mencalonkan Pemimpin Umno tempatan, Zakaria Hanafi, 58.

Manakala, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengumumkan Nik Aziz Afiq Abdul, 25, sebagai calon mereka dan calon Bebas, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’ bertanding pada PRK kali ini.