Kerajaan Kedah tunggu laporan jabatan perhutanan

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah masih menunggu laporan penuh daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah berhubung pembangunan ladang durian di Hutan Simpan Gunung Inas di sini dan kawasan sekitarnya.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, setakat ini Jabatan Perhutanan mengesahkan 730 hektar daripada 3,076 hektar yang diberikan kelulusan tanaman buah-buahan pada 2019 sudah ditanam pokok durian musang king sekali gus menafikan dakwaan 12,140 hektar seperti dalam sebuah video yang tular sebelum ini.

Menurutnya, siasatan sedang dijalankan secara terperinci bagi memastikan pemaju mematuhi syarat ditetapkan iaitu hanya 20 peratus dibangunkan ladang durian manakala 80 peratus lagi ditanam spesies pokok hutan.

“Kita perlu pastikan kedua-dua syarat itu dipatuhi. Kita akan periksa sama ada pokok diluluskan untuk ladang hutan ganti itu sudah ditanam atau belum. Jangan pula asyik tanam durian saja di kawasan dibenarkan tetapi kawasan selebihnya belum ditanam pokok hutan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Muhammad Sanusi berkata, sekiranya pemaju menanam keseluruhan 20 peratus di satu lokasi sahaja bagi keseluruhan kawasan diluluskan untuk ladang hutan, ia juga diklasifikasikan sebagai melanggar syarat.

“Perlu diingat tidak boleh tarik kelulusan dari kawasan ladang hutan lain ke kawasan itu. Buat masa ini kita masih meneliti perkara ini,” katanya.

Tambah beliau, kelulusan projek pembangunan ladang hutan adalah lima peratus dari keluasan Hutan Simpan Kekal sedia ada iaitu seluas 15,380 hektar.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 20 peratus diluluskan kerajaan terdahulu (pada tahun 2019) untuk tanaman durian sebanyak 3,076 hektar.

Artikel Berkaitan:

“Daripada tanah seluas 3,076 hektar itu, 730 hektar ditukar menjadi ladang durian atau 24 peratus dari keluasan dibenarkan dan kebanyakannya di Gunung Inas yang terletak di tenggara Kedah,” kata beliau.

Muhammad Sanusi berkata, antara lokasi itu melibatkan sebahagian kompartment lima dan enam di Gunung Inas seluas 260 hektar dan kompartment lapan blok 1 seluas 50 hektar.

“Sebahagian lagi iaitu kompartment 16/17/18 di Gunung Bongsu adalah seluas 170 hektar, di mana keseluruhan di Kedah selatan adalah 480 hektar.

“Di daerah Kedah Tengah melibatkan kompartment 66/67 Rimba Teloi (seluas 200 hektar) dan kompartment 12,13,14, Bukit Enggang seluas 50 hektar,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, kelulusan asal untuk ladang hutan ganti diperoleh pada tahun 2007 membabitkan seluas 5,000 hektar oleh Kedah Agro Sdn Bhd dan sebuah syarikat usahasama.

Beliau berkata, projek itu diteruskan kerajaan Pas ketika itu dan diserah kepada Jabatan Perhutanan untuk tender terbuka manakala kerja menanam pula diserah kepada Kumpulan Ladang-ladang Perbadanan (KLPK).