Dunia mula perkenal pasport vaksin digital

Industri penerbangan terjejas selepas Covid-19 mula dikesan di Wuhan, China pada tahun 2019 sebelum merebak hampir ke seluruh dunia. - Foto AFP
Industri penerbangan terjejas selepas Covid-19 mula dikesan di Wuhan, China pada tahun 2019 sebelum merebak hampir ke seluruh dunia. - Foto AFP
A
A
A

NEW York di Amerika Syarikat (AS) menjadi negeri pertama yang mengeluarkan aplikasi pengesahan vaksin Covid-19 atau lebih dikenali sebagai pasport digital vaksin pada hubung minggu lalu.

Ia menggunakan aplikasi ciptaan syarikat gergasi teknologi Perbadanan Busines Mesin Antarabangsa atau lebih terkenal dengan nama singkatannya iaitu IBM yang mempamerkan kod respon pantas atau QR bagi mengesahkan status kesihatan pemilknya.

Bagaimanapun, pasport itu masih lagi belum digunakan dengan meluas walaupun ia boleh mengesahkan dengan segera sama ada pemiliknya telah menerima vaksin Covid-19 atau telah diuji tidak dijangkiti dengan pandemik tersebut.

Walaupun New York memperkenalkan pasport digital itu, banyak negeri di AS masih tidak membenarkan penggunaan sijil kesihatan atau pasport seumpama itu atas dasar kebebasan hak-hak asasi manusia.

Menurut AFP, Gabenor Florida, Ron DeSantis dan Gebenor Texas, Greg Abbott masing-masing mengeluarkan arahan eksekutif menghalang pasport vaksin dikeluarkan di negeri masing-masing.

Arahan itu menghalang pelanggan-pelanggan di negeri masing-masing menunjukkan sijil Covid-19 dalam urusan perniagaan mereka.

"Orang ramai mempunyai beberapa kebebasan untuk membuat keputusan untuk mereka sendiri," kata DeSantis kepada AFP.

Pada awal bulan lalu, China menjadi negara pertama di dunia yang memperkenalkan pasport virus atau sijil kesihatan vaksin antarabangsa bagi memudahkan pergerakan pelawat atau pengembara global.

Artikel Berkaitan:

Menerusi sijil kesihatan itu, kod QR yang akan dipamerkan dalam aplikasi WeChat dan apabila diimbas ia akan dihubungkan kepada maklumat sejarah vaksin pemiliknya yang telah disimpan oleh Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China.

Bagaimanapun, sijil kesihatan itu masih belum mendapat pengiktirafan daripada mana-mana negara di dunia selepas ia diperkenalkan buat pertama kali oleh kerajaan negara komunis tersebut.

China merupakan tempat asal Covid-19 pertama kali dikesan iaitu di bandar raya Wuhan pada tahun 2019 sebelum ia merebak hampir ke seluruh dunia sebelum vaksin pendemik tersebut dicipta sebagai usaha membendung penularannya.

Negara itu juga dilaporkan telah membuka pintu sempadannya kepada warga-warga asing dengan syarat mereka telah menerima mana-mana vaksin Covid-19 buatan China terlebih dahulu dan perlu mengadapi kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan komunis tersebut.

Israel pula dilaporkan sudah mencapai persetujuan dengan Greece dan Cyprus bagi membolehkan warga-warganya untuk pergi ke kedua-dua buah negara tersebut jika mempunyai pas hijau yang menunjukkan mereka telah menerima vaksin Covid-19.

China mengeluarkan pasport virus bagi mengetahui sama ada rakyatnya sudah menerima vaskin Covid-19 pada bulan lalu. - Foto AFP
China mengeluarkan pasport virus bagi mengetahui sama ada rakyatnya sudah menerima vaskin Covid-19 pada bulan lalu. - Foto AFP

Negara-negara seperti Denmark dan Sweden juga sedang membangunkan pasport kesihatan masing-masing yang kemungkinan akan digunakan bagi membolehkan rakyat mereka pergi ke luar negara.

Kesatuan Eropah yang dianggotai 27 buah negara juga merancang untuk mengeluarkan pas EU yang juga dikenali sebagai pasport vaksin bagi memudahkan perjalanaan dan penerbangan merentasi sempadan.

Menurut portal berita Nikkei Asia, Jepun akan mengeluarkan sijil kesihatan digital yang mempunyai fungsi sama seperti pasport digital kepada rakyatnya yang telah menerima vaksin Covid-19.

Sijil itu yang boleh dilihat menerusi aplikasi telefon bimbit membolehkan para pemiliknya menunjukkan bukti bahawa mereka sudah menerima vaskin pandemik tersebut ketika mahu menaiki pesawat atau mendaftar masuk ke hotel.

Pasport vaksin itu juga menyasarkan warga asing yang menetap di Jepun dan mahu kembali ke negara-negara masing dan kerajaan Jepun mahu menggunakan pasport tersebut hanya untuk rakyatnya bergerak di dalam negara.

Pada bulan depan, Singapura dilaporkan akan menerima warga asing yang menggunakan pas Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa ketika memasuki negaranya.

Ia boleh dilihat menerusi alat mudah alih seperti telefon bimbit yang mengandungi sijil ujian dan vaksin Covid-19.

Penerbangan antarabangsa dan pelancongan ketika ini terjejas dengan Covid-19 menyebabkan pasport vaksin dilihat sebagai penyelesaian untuk memulihkan kembali kedua-dua industri tersebut seperti sedia kala.

Ketua Perubatan Persatuan Pegawai Kesihatan Wilayah dan Negeri AS (ASTHO), Marcus Plescia percaya ramai orang berpendapat mempunyai pasport vaksin dianggap berguna dalam sesuatu keadaan dan beliau tidak terkejut jika sijil vaksin Covid-19 akan diperlukan di sekolah-sekolah dan syarikat swasta pada masa depan.

Buat masa sekarang, katanya, perbincangan mengenai keperluan sijil kesihatan itu masih di peringkat pramatang kerana berjuta-juta lagi penduduk di AS masih belum lagi menerima sepenuhnya vaksin Covid-19.

Sehingga Rabu lalu, angka kematian akibat Covid-19 ialah 2.87 juta orang manakala 132 juta orang dijangkiti dengan pandemik tersebut di peringkat global manakala ekonomi kebanyakan negara di dunia turut terjejas disebabkan terdapat sekatan perjalanan merentasi sempadan negara. - Agensi