X

Kindly register in order to view this article
!

PAFA percaya kemelut Perak FC dapat diselesaikan cara baik

Pemain Perak FC giat menjalani latihan sebagai persediaan perlawanan liga. -Foto: Perak FC
A
A

NAIB Presiden 1 Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Muhammad Yadzan Mohammad percaya kemelut yang melanda Perak FC ketika ini terutamanya melibatkan isu tunggakan gaji pemain dapat diselesaikan dengan baik.

Menurut Muhammad Yadzan, isu berkenaan perlu diselesaikan dengan segera kerana sehingga ke hari ini, tunggakan gaji berkenaan dilaporkan telah berlarutan selama dua bulan.

Justeru menurutnya, tunggakan itu pastinya telah menimbulkan beberapa masalah berkaitan kewangan dalam kalangan pemain skuad The Bos Gaurus itu.

“Bagi saya, tunggakan berkenaan diharap dapat diselesaikan cuma belum diketahui bilakah masanya.

“Cuma pemain perlu bersabar kerana pihak pengurusan Perak FC pasti sedang berusaha untuk berbuat demikian (membayar tunggakan gaji) dengan segera,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Muhammad Yadzan berkata demikian bagi mengulas berhubung isu tunggakan gaji yang kini melanda skuad Perak FC.

Isu tunggakan gaji itu dikatakan bakal menyaksikan beberapa tonggak utama skuad Seladang itu meninggalkan pasukan kelak dengan mengaktifkan Klausa 8.7 untuk menamatkan kontrak masing-masing.

Malah ketika ini sudah ada pemain yang cuba dipancing oleh pasukan lain jika isu tunggakan gaji itu masih berterusan.

Sementara itu, Muhammad Yadzan turut memberikan bayangan untuk mengadakan Kongres Tahunan PAFA, Jun depan.

Bagaimanapun katanya, tarikh sebenar bagi mengadakan kongres berkenaan belum dapat dipastikan dan akan diumumkan kelak.

“Insya-ALLAH, kita merancang adakan kongres pada Jun, tetapi kita belum dapat tarikh yang sebenar dan bersesuaian,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!